TAZKIRAH 3 : KUBUR - PERMULAAN TAMAN SYURGA ATAU KAWAH NERAKA?


KUBUR : PERMULAAN TAMAN SYURGA ATAU KAWAH NERAKA ?

Hati yang keras umpama karat yang melekat pada besi, jika karat itu nipis memadailah hanya digosok dengan kertas pasir untuk menanggalkanya. Diantara cara dapat melembutkan hati ialah mendekati majlis ilmu untuk mengikis kejahilan, mendekati ulama sebagai kunci mendapatkan ilmu dan menziarah orang sakit atau orang mati Insya Allah akan mendatangkan kesedaran di dalam jiwa.

Jika dengan tiga cara tersebut tidak juga mendatangkan sebarang kesan , ini bererti karat yang melekat didalam hati itu sudah terlalu menebal. Karat yang sudah terlalu tebal itu tidak mungkin dapat dikikis dengan hanya menggosok dengan kertas pasir sahaja , mungkin perlu di ketuk dengan kuat atau besi tersebut terpaksa dibakar dengan kepanasan api yang tinggi. Hanya dengan cara demikian segala karat yang tebal itu dapat ditanggalkan.

Cara yang dianggap lebih berkesan untuk menanggalkan karat dihati ialah dengan menziarahi kubur, ia elok dilakukan bagi memberi peluang untuk berfikir secara serius bahawa di sebalik alam kubur itu terdapat banyak peristiwa suka dan duka yang bakal ditempuh oleh setiap insan. Hanya ada dua kemungkinan di alam barzakh itu, samaada ia menjadi tempat istirehat atau tempat bermulanya siksaan sebelum seksaan sebenar di dalam neraka jahanam.

Apabila melihat batu nesan yang tercacak diatas kubur , mari kita renung betapa tubuh manusia yang bersemadi di dalam tanah , terbujur tanpa teman, walaupun semasa hayatnya dia dikelilingi anak isteri, sanak saudara, orang-orang besar, jiran – jiran dan sahabat handai . Biar setinggi mana penghargaan dan kasih sayang mereka , namun paling akrab mereka hanya mampu mendampingi kita sekadar menghantar ke tanah perkuburan. Sebaik sahaja sahaja mayat diturunkan ke dalam liang , tanah mulai menimbus jasad yang sudah tidak bernyawa , akhirnya semua yang meratapi pemergiannya akan melangkah pulang dan tinggallah dia seorang diri di dalam kubur itu.

Segala harta, kuasa, pangkat,pingat yang ada akan ditinggalkan. Para waris kemudian berhimpun untuk berbincang membahagikan harta pusaka yang ditinggalkan, kekayaan miliknya yang dihimpun sekian lama kini telah berpindah tangan. Kuasa yang ada dulu kini tidak bermakna.

Adakah mayat yang terbujur di dalam kubur adakah mendapat manafaat dari harta yang ditinggalkan? Jika dia pernah membelanjakan hartanya ke jalan kebajikan , membantu usaha memperjuangkan agama Islam, bersedekah jariah, berwakaf, berzakat, membantu fakir miskin dan seumpamanya , mudah mudahan semua itu merupakan simpanan tetap di dalam bank akhirat, yang Insya Allah keuntungan atau dividen dari simpanan tetap itu ( itu pun jika ikhlas) akan mula di terima sejak saat pertama dia menjadi penghuni di alam barzakh.

Namun bagaimana pula nasibnya jika harta itu diperolehi dengan cara yang batil seperti menipu , mengambil hak orang lain dengan kuasa yang ada, bersikap tidak adil dalam menguruskan harta , mengambil rasuah, menindas orang bawahan dengan kuasa yang ada, terlibat saham riba dan seumpamanya. Ataupun dia hanya seorang penghimpun harta tanpa mengira halal haram dan tidak menggunakan harta untuk menambah saham akhirat , sehingga tiba-tiba ajal pun datang . Maka kubur tempat ia berada itu samaada menjadi tempat beristirehat atau tempat menerima azab , hanya Allah yang Maha mengetahui.

Penghuni kubur hanya bergantung kepada ganjaran pahala dari amalan yang ikhlas , tetapi juga berharap rahmat dari Allah Taala kerana segala usaha dan ikhtiar mereka sudah berakhir, yang ada hanyalah tiga perkara. Jika mereka memiliki tiga perkara itu maka dapatlah ia menaruh harapan . Pertama ialah sedekah jariah, kedua ilmu yang memberi manafaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakan ibubapanya.

Kita semua tidak tahu bagaimana nasib penghuni kubur yang sedang diziarahi itu kerana ia kelihatan tenang dan damai . Tiada siapa yang tahu nasib para penghuni kubur itu sekalipun sanak saudara datang menziarahi kubur mereka terutamanya ketika Hari Raya. Tiada siapa yang ada pengalaman masuk kubur dan kemudian menceritakan kepada orang lain.

Walaupun mereka datang dengan menabur bunga-bungaan dan menyiram air mawar , namun semua itu tidak dapat menolong orang-orang yang terbujur di dalam perut bumi. Harum bunga bungaan tidak akan dapat dihidu oleh simati, dan air mawar yang disiram diatas pusara tidak akan menghilangkan dahaga atau mendinginkan penghuni kubur itu.

Yang dapat menolong mereka ialah makhuk yang dihantar oleh Allah SWT ke dalam kubur itu , mereka ialah para malaikat. Tetapi para malaikat itu hanya akan patuh pada titah perintah Allah SWT semata-mata, jika Allah mengkehendaki agar di cucuri rahmatNya , maka malaikat itupun akan menghantarkan rahmat, jika malaikat itu dititah untuk menghantar azab maka sudah pastilah azab yang akan diterima.

Rasulullah SAW memberitahu, sesungguhnya kubur adalah permulaan kepada taman syurga atau kawah azab neraka. Bagi orang yang mendapat rahmat dan pengampunan Allah, iaitu mereka yang sentiasa ingatkan Allah semasa hidupnya dengan melakukan ketaatan maka kubur baginya adalah lorong sebuah taman yang dipenuhi kenikmatan dan kerehatan. Tapi bagi mereka yang melupakan Allah Taala semasa hidupnya , hingga melakukan kezaliman, ketidakadilan dan kejahatan maka kubur baginya adalah lokap transit sebelum hukuman sebenar dijalankan iaitu dihumban di neraka jahanam .

Kalau orang beriman itu memahami hakikat kematian, maka ianya sudah cukup menjadi juru penasihat yang sangat berkesan. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda bermaksud, ‘Cukuplah mati sebagai penasihat.’

No comments:

Post a Comment