KENAIKAN HARGA MINYAK DI SAMBUT GEMBIRA...


Awal pagi lagi stesyen minyak sekitar Seremban di kunjungi oleh ramai pengguna kenderaan yang berpusu pusu untuk mendapatkan bekalan minyak dengan harga baru. Harga RON97 dinaikkan kepada RM2.05/liter, manakala RON95 pula akan naik kepada RM1.80/liter..
Mereka yang mengunjungi stesyen minyak kelihatan melonjak-lonjak kegembiraan dengan pengumuman kenaikan harga minyak yang dibuat .Pengguna bersyukur dengan kenaikan tersebut dan dengan langkah itu maka berakhirlah masalah harga minyak murah yang melanda negara sejak berhari hari lamanya.

Antara pengunjung stesyen minyak yang ditemubual oleh krew Nogori Blogspot ialah Neng Yatimah , 35, berkata,"Langkah ini adalah langkah hebat. Saya rasa bersyukur. Sekurang-kurangnya suami saya akan kembali menggunakan motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja. Dapatlah saya guna kereta untuk menghantar anak ke sekolah. Saya berharap agar harga dinaikkan lagi agar suami saya naik basikal pula dan dia akan tinggalkan motosikalnya di rumah, dapatlah nanti saya guna pulak ".

Sementara seorang pekerja Kilang yang enggan namanya di dedah berkata, "Saya sebenarnya dah lama tunggu kenaikan harga minyak ni. Bila harga baru di sebut, saya terus datang ke stesyen minyak untuk mendapatkan bekalan full tang . Alhamdulillah, doa saya termakbul akhirnya. Dengan kenaikan harga minyak ini dapat lah saya merayakan hari raya tahun ini dengan serba sederhana, duduk di rumah aje tengok Upin dan Ipin dan tidak berlebih lebihan seperti tahun lepas.

"Samion bin Songkreng, 23, yang bekerja sebagai pencuci tandas berkata, "Dengan kenaikan harga minyak ini, dapat lah saya menumpukan perhatian saya pada kerja. Sebelum ini saya selalu ponteng dan bersiar-siar naik motosikal bersama kawan ketika waktu kerja dan kerap keluar dating dengan makwe saya. Malam tadi, majikan sudah pun menghubungi saya dan dia mengucapkan tahniah kepada saya. Beliau cukup perihatin dengan saya '.

"Manakala seorang pembonceng motosikal yang berjaya di temubual, En. Sarip Dol dari Kg Dusun , 25, yang berkerja sebagai tukang masak berkata, "Tak payah interview saya .... Saya tak beli minyak bang, saya tumpang motor kawan jer. Tapi bang, Minyak naik tak apa asal jangan kena selsema babi... maut bang " ujarnya

Wartawan Nogori Blogspot sempat menemubual seorang kakitangan asing, warga Bangladesh, beliau berkata, "Bahasa Malaysia, shaya tak tau shakap. Bos suruh shakap 'Merah', 'Hizau' minyak lama, 'kuning' minyak bahru. Abang berapa mau isi?. Abang brli bundera RM1.00 satu. Murdeka! Terima kasheh.

Oh bahagianya minyak naik.....

MENJENGOK KEBUN GAHARU...

Sungai di belakang kebun gaharu... mendamaikanJalan masuk ke kebun gaharu
Gaharu kian membesar...

Hari Jumaat yang lepas aku bergerak ke Lenggeng untuk meninjau perkembangan projek gaharu. Kali terakhir ke sana dalam 2 bulan yang lalu. Bukan apa, risau kalau-kalau kambing masih masuk ke kebun dan jadikan pokok gaharu tu ulam mereka… Pergi kebun waktu bulan puasa ni boleh tengok je… nak menebas, membaja tak dapek de… capek pak…

Alhamdulilah, perkembangan baik , pokok gaharu tu hidup subur dan beberapa bulan lagi mungkin perlu di baja lagi untuk memastikan ianya terus subur dan berkembang . Kambing pun nampaknya dah tak masuk. Namun begitu kalau nak dibandingkan gaharu di Lenggeng dengan yang aku tanam di rumah pastilah yang di halaman rumah lebih subur dan naik dengan cepat. Sebabnya gaharu di rumah di siram 2 kali sehari iaitu sebelum pergi kerja dan balik kerja , di samping pembajaan yang lebih kerap. Di Lenggeng tu memang mengharap air hujan semata-mata namun kalau musim kemarau terpaksa upah Mat Indon untuk menyiramnya .
Di samping menjengok gaharu, aku sebenarnya seronok pergi ke Lenggeng kerana suasana kampung yang sangat mendamaikan. Jauh dari kesibukan dan kepura-puraan manusia di kota. Suasana kampung di Lenggeng sangat asli dan tak tercemar dek pembangunan . Dengan pemandangan sungai yang mengalir tenang, bukit bukau, tumbuh-tumbuhan pasti menjadikan jiwa lebih tenang dengan kejadian Allah yang Maha Esa.
Sejak aku membuka website ni banyak juga dapat kawan-kawan baru yang turut sama mengusahakan gaharu dan mereka banyak berkongsi pengalaman . Bagi kengkawan yang tak mengusahakan gaharu jangan boring pulak menjengok ke website aku ni, akan datang aku akan bawa isu-isu selain gaharu pulak… Apa isu korang nak? Isu politik? Jangan lupa ada satu pilihanraya kecil di Port Dickson … ha ! nanti aku akan paparkan foto-foto dan cerita-cerita pilihanraya tu… Sebelum ni Barisan Nasional dah TKO 7-0 kepada Pakatan Rakyat agak-agak korang kali ini boleh pecah telur ke? Bolehkah BN bangkit ? Nantikan …..
Okey, lihatlah gambar-gambar perkembangan kebun gaharu aku di atas , tak sabar rasanya nak tunggu gaharu tu tinggi lebih daripada aku. Namun kesabaran itu adalah separuh dari Iman, hanya orang-orang yang sabar dan berusaha sahaja akan mendapat ganjaran dari Allah . Apa yang penting berdoalah dalam apa jua usaha yang kita lakukan kerana doa itu adalah senjata mukmin yang paling ampuh !
Jumpa Lagi di paparan akan datang!

LENGGENG - LEMBAH GAHARU NEGERI SEMBILAN

Bernilai tinggi.... pokok gaharu siap untuk di proses
Menunggu hasil ... gaharu berusia 2 tahun di Lenggeng

Anak pokok gaharu sedia di tanam

Seorang pekerja sedang memotong gaharu di Lenggeng

Lenggeng terletak dalam daerah Seremban, di Negeri Sembilan. Bandar ini terletak kira-kira 16 km di utara Seremban. Lenggeng bersempadan dengan Beranang Selangor. Jadi sebahagian kampung di Selangor terletak juga di Negeri Sembilan. Ini berikutan sempadan negeri yang tidak begitu jelas, tidak ada sungai sempadan yang jelas untuk memisahkan Selangor dengan Negeri Sembilan.

Mengikut riwayat, nama Lenggeng itu berasal daripada ikan tilan yang banyak terdapat di anak-anak sungai di Lenggeng. Ikan tilan ini dikenali sebagai 'Langging' oleh orang-orang Minang di Lenggeng. Untuk menyesuaikan dengan bahasa tempatan dan mudah dieja, perkataan 'Langging' ditukar kepada Lenggeng yang dikenali sehingga ke hari ini.

Penduduk Lenggeng terdiri daripada orang Melayu sebagai kaum majoriti dari generasi kedua dan ketiga dari penghijrahan orang-orang Minang Sumatra khususnya dari Luak Agam (satu kawasan bermula di Bukit Tinggi hingga ke Lubuk Sikaping). Orang Melayu di Lenggeng mengamalkan budaya warisan mereka iaitu budaya Minangkabau, Indonesia.

Ekonomi masyarakat Lenggeng adalah bersumberkan pertanian seperti tanaman serai, buah-buahan, kelapa sawit, getah dan sebagainya. Lenggeng juga di penuhi dengan ternakan lembu, kambing, itik dan ayam. Namun sejak 3-4 tahun yang lalu Lenggeng kini telah mula di tanam dengan pokok yang paling berharga di dunia iaitu gaharu. Menyusuri sekitar Lenggeng akan dapat di lihat pokok-pokok gaharu sudah mula di tanam secara perladangan. Saya juga dapat melihat di rumah penduduk Lenggeng terdapat juga pokok-pokok gaharu yang di tanam di sekitar halaman rumah. Bolehlah dikatakan Lenggeng kini adalah Lembah Gaharu bagi Negeri Sembilan apabila ramai yang telah mengusahakan secara perladangan komersial.

Baru-baru ini saya ke Lenggeng untuk melihat kebun gaharu yang diusahakan sejak 5 bulan yang lalu , kemudian saya singgah sebentar di rumah Saudara Zul, sempat juga saya melihat beberapa orang pekerja sedang memotong pokok gaharu sebelum di proses untuk dijadikan minyak. Pokok gaharu itu di potong kecil-kecil sebelum menjalani proses untuk mendapatkan minyak yang sangat bernilai tinggi.

Di belakang rumah saudara Zul pula di penuhi dengan anak-anak pokok gaharu yang sedia di tanam dan di beli oleh sesiapa yang berminat. Jenis pokok gaharu yang dijual oleh Saudara Zul ialah Sub Integra yang diimport dari Thailand.

Selain di Lenggeng saya juga di maklumkan penanaman gaharu secara ladang juga telah diusahakan di Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu. Namun begitu pihak Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan di Negeri Sembilan masih belum mempunyai kepakaran tentang gaharu. Bantuan juga tidak dapat diberikan kepada pengusaha gaharu dengan alasan gaharu tidak dikategorikan sebagai tanaman berasaskan makanan, oleh yang demikian bantuan daripada Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan tidak dapat diberikan.

Saya menyarankan kerajaan Negeri Sembilan dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang mempunyai tanah terbiar untuk mengusahakan penanaman gaharu. Bantuan boleh di beri dalam bentuk anak pokok, baja, peralatan, khidmat nasihat dan sebagainya. Penanaman gaharu secara komersial akan membolehkan sesiapa sahaja keluar dari belenggu kemiskinan dalam tempoh 7- 8 tahun. Kalau kita terus bergantung kepada penanaman serai, sawit, getah, buah-buahan sampai bila pun usaha membasmi kemiskinan tidak akan tercapai.
Satu pelan tindakan harus di ambil oleh kerajaan negeri dan agensi berkenaan agar lebih ramai lagi dapat menceburkan diri dalam perladangan gaharu secara komersial. Mungkin langkah kerajaan negeri Kelantan boleh dijadikan contoh dengan menjadikan penanaman gaharu sebagai langkah untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyatnya.

Usaha perladangan gaharu telah bermula di setiap negeri di Malaysia tetapi keluasan ladang masih terbatas. Oleh itu, sesiapa yang berminat tanamlah pokok gaharu kerana ia lebih baik daripada membiarkan tanah di sekitar kampung atau rumah ditumbuhi lalang dan belukar . Insya Allah ia akan membawa manafaat.

PERLADANGAN GAHARU DI LENGGENG

Di ladang gaharu Saudara Zul Kerja-kerja pembajaan

pokok gaharu mula membesar
Di sinilah lokasi penanaman gaharu

Kerja membajak dan membersihkan tanah


Sudah sampai masanya saya nak ceritakan projek penanaman gaharu yang saya telah usahakan kira-kira 5 bulan lalu di Kg Jelebu, Lenggeng Negeri Sembilan.

Saya mula mengenali apa itu gaharu ketika mana saya berjumpa secara tak sengaja rakan lama saya Saudara Zulkifli Omar di Bandar Seremban. Apabila bertanyakan perkembangannya dia memberitahu saya projek terkininya sekarang ialah menanam gaharu. Gaharu? Mulanya saya tak berminat tetapi setelah mendengar ceramah beliau tentang gaharu di Sekolah Agama Rakyat Gedung Lalang, Seremban saya mula tertarik dengan potensi gaharu.

Lantas saya terus mencari maklumat gaharu ini di internet dan ternyata gaharu adalah satu anugerah Allah yang sangat bernilai jika kita berusaha dengan gigih dan sabar. Setelah melawat kebun gaharu saudara Zul di Lenggeng saya lantas mengambil keputusan untuk menjadi salah seorang bergelar ‘Gaharuman’ di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Masalah pertama saya adalah tanah . Nak tanam kat mana gaharu ni tanah tak ada ? Namun dengan pertolongan Saudara Zul beliau telah mencari seekar tanah dari orang kampong di Lenggeng dan akhirnya dapatlah tanah seorang Imam masjid di Kg Jelebu Lenggeng dengan kadar sewa yang berpatutan.

Tanah dah dapat tapi setelah di kaji kos penanaman gaharu untuk seekar tanah adalah 1,000 pokok . Sebatang anak benih gaharu RM 12 kalau 1,000 pokok dah RM 12,000! Tak termasuk kos pembajakan tanah , kos upah penanaman, sewa pajak tanah , buat pagar , pembajaan dan lain-lain. Nak tahu berapa modalnya? Modalnya adalah RM 21,000 untuk seekar bersamaan 1,000 pokok! Mak oii … banyak modal rupanya tanam gaharu ni!

Jadi masalah ke dua adalah modal. Namun kata orang hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Memandangkan kos yang tinggi saya terpaksa mencari partner untuk berkongsi modal. Akhirnya seorang rakan saya yang turut mendengar ceramah Saudara Zul juga berminat , apa lagi kami berkongsi modal untuk memulakan projek 1,000 pokok gaharu yang diimpikan. Bagi saya daripada di simpan duit tu dalam bank tak akan ke mana-mana , lebih baik berusaha sesuatu yang baru walaupun risikonya tetap ada. Mana ada benda tak ada risiko ? Jual burger pun ada risiko… yang penting kita berusaha, berdoa dan tawakal ke hadrat Allah.

Maka hari yang ditunggu telah tiba , kerja hari pertama ialah membajak dan merata tanah. Tanah di situ sebenarnya di tanam dengan pokok pisang, tapi demi projek gaharu pokok-pokok pisang tu terpaksa di sondol oleh traktar , sedih juga tengok pokok-pokok pisang tu rebah tapi apa nak buat, tuan tanah pun dah setuju… redah je! Maka siaplah kerja meratakan tanah. Step seterusnya adalah menggali lubang dan kerja-kerja menggali lubang ini di uruskan oleh pekerja Saudara Zul. Selesai menggali lubang maka anak pokok gaharu mula di tanam maka dengan itu bermulalah usaha-usaha untuk menjaga pokok gaharu tersebut dengan sebaiknya.

Kini setelah 5 bulan penanaman, kami hanya memantau perkembangan pokok gaharu dalam sebulan sekali. Pembajaan juga telah dilakukan dengan menggunakan baja gunung berapi dan baja tahi lembu. Kerja kerja pembajaan ini kami buat sendiri je, keluar jugak la peluh. Badan pun sihat. Tapi kerja-kerja membersihkan lalang-lalang di kebun kami upah Mat Indon di sekitar kampong tu. Yang kesiannya Mat Indon tu membersihkan menggunakan cangkul bukan dengan mesin rumput, sakit-sakit badannya sampai dia kata pada kami – ‘kerja gila Pak! capek… ’ . Kesian pulak , tapi berbaloi la kami pun bagi upah bukan kerja free!

Di sekitar tempat kami menaman gaharu tu ada sebuah kandang kambing import jenis boer. Nak di jadikan cerita dah beberapa kali kambing jenis Boer tu menceroboh masuk ke dalam kebun gaharu kami. Ini lah yang dikatakan cobaaannn ….. habis gondol daun gaharu kami dikerjakan ! Bukan main berpesta dia ‘makan besar’ dengan menjadikan daun gaharu makanan lazat nya , kambing ni bukan tau pokok tu harga RM 12.00 sepokok… dihanyaknya semacam. Sedih botul den… Apo nak buek

Walaupun kebun tu dah berpagar tetapi biasalah nama pun kambing, ada lubang sikit je dia dapat menyelinap masuk , terpaksa lah kami membaik taraf pagar kami agar lebih kukuh bagi mengelakan si kambing masuk lagi! Nak tak nak kena keluar lagi modal tambahan. Partner saya punya brutal terus jumpa tuan kambing dan minta tuan kambing tu jaga la baik-baik kambingnya sebelum kami sembelih kambing-kambingnya pula…. Partner saya tu pulak memang suka makan kambing…. Eloklah tu .

Walaubagaimana pun syukur juga pokok-pokok tu tak mati, ada jugalah yang mati tapi tidaklah terlalu banyak. Apa yang penting kita harus berusaha selebihnya bertawakal kepada Allah .
Rasul SAW bersabda yang maksudnya

“ Sesiapa yang menanam sepohon pokok , di jaga dengan sabar dan peliharalah ia sehingga ia berhasil, maka Allah akan mengira buahnya , tidak kira siapa pun yang bermanafaat darinya sebagai amalan jariah kepada penanamnya - ( Hadis Riwayat Ahmad)

Ingatlah bahawa di dalam Islam usaha pertanian adalah satu usaha yang mulia dan amat di galakkan. Perdadangan gaharu hari ini bernilai lebih 4 billion dan terus meningkat tanpa reda. Tetapi, masa hadapan gaharu bukan lagi pada pokok gaharu yang tumbuh liar di hutan belantara tetapi pohon gaharu yang di tanam secara perladangan. Kepada pengusaha yang cekal , perusahaan gaharu menawarkan peluang untuk menjadi jutawan dan dengannya nanti bolehlah membayar zakat dengan rezeki kurniaan Allah itu.

Oklah cukup sampai di sini nanti saya akan ceritakan lagi perkembangan gaharu ni dari semasa ke semasa.