MEWAHNYA MASJID INDIA....

khubah Jumaat dalam bahasa India dan Malaysia
lokasi Masjid India Seremban

Lihat jadual sumbangan berbuka dan moreh telah penuh !

Memandangkan surau sementara di taman aku penuh sehingga melimpah ke luar pada bulan Ramadhan ini , aku kadangkala sembahyang terawih di tempat lain. Aku memilih bersolat di Masjid India Jalan Temiang , Seremban yang jaraknya hanya kira-kira 800 meter dari rumah aku. Sebelum ini aku tak pernah bersolat di Masjid India tersebut tetapi memandangkan itulah masjid yang terdekat dari rumah maka eloklah menjengah ke masjid tersebut.

Khutbah Jumaat di masjid tersebut akan disampaikan dalam bahasa India dan Melayu secara bergilir-gilir, kalau minggu ni Bahasa India minggu depan Bahasa Melayu begitulah seterusnya sehingga kiamat. Iman masjid ini namanya Ustaz Zubair Ahmed diimport dari negara India dan merupakan imam sepenuh masa dan berstatus Al -Hafiz. Jika tiba bacaan khutbah versi Bahasa India biasanya mereka tidak menggunakan teks dan penyampaian khutbah di buat dengan suara yang bersemangat dan berapi-api, tapi sayangnya haram aku tak faham , yang herannya tak mengantuk sebab cara penyampaian yang bersemangat dan intonasi yang menarik. Kalau ikutkan bila dah tak faham mesti nak tidur dah, nak pula masjid itu berhawa dingin ! tetapi cara Iman tu berkhutbah agak menarik dan tanpa teks…

Sembahyang terawih di masjid ini dilakukan sebanyak 21 rakaat tapi imannya bawa dengan bacaan yang sangat fasih dan laju. Apa yang menariknya sumbangan untuk berbuka puasa dan moreh di masjid ini sangat mewah . Ianya disumbangkan oleh Restoran India Muslim di seluruh Seremban. Jawatankuasa masjid memberitahu aku, pihak mereka telah dihubungi oleh restoran-restoran berkenaan sebulan lebih awal untuk menempah sumbangan majlis berbuka dan moreh. Jadual sumbangan juga telah penuh selama satu bulan ( sila lihat gambar diatas ).
Nak tahu apa menunya? ni yang best nak cerita… sepanjang beberapa hari yang aku pergi menunya ialah bubur asyura, capati, roti canai, murtabak, nasi briyani, mee goreng mamak , beranika kuih muih dan macam-macam ada… maka bulan puasa ni badan bukan tambah kurus tapi tambah naik la jawabnya…

Apa yang ingin aku nak sampaikan ialah di dapati restoran ‘saudara kita’ ini berebut-rebut menyumbang makanan berbuka dan moreh di Masjid India . Bagaimana ‘Masjid Melayu?’ Banyak tak restoran-restoran Melayu nak tampil menyumbang juadah berbuka dan moreh di masjid-masjid dan surau-surau? Kadangkala tiada langsung diadakan majlis berbuka atau moreh kerana ketiadaan peruntukan atau penyumbang. Ada juga masjid terpaksa mengupah pihak catering untuk menyediakan jamuan berbuka dan moreh. Mungkin juga ada yang menyumbang, tetapi tidaklah sebanyak dan penuh istiqamah seperti yang dilakukan oleh restoren-restoran India Muslim . Mungkin itulah sebabnya restoran mamak sentiasa penuh dan jarang bangkrap kerana keberkatan bersedekah

Mudah-mudahan ‘Masjid Melayu’ juga akan di hujani dengan sumbangan dari restoran – restoran milik orang Melayu. Berbuka puasa dan moreh bukan sekadar makan semata-mata ianya juga merapatkan tali siratulrahim antara umat Islam untuk berkenal dengan lebih rapat lagi.

Dinyatakan dalam hadits Zaid bin Khalid dari Nabi SAW beliau bersabda:
"Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya
seperti pahala ovang yang berpuasa itu tanpa mengulangi sedikit pun dari
pahalanya. " (HR. Ahmad dan At-Tirmidzl)




MULAKAN TANAM GAHARU DI SEKITAR RUMAH...

pokok gaharu hidup subur di halaman rumah
Anak lelaki saya 5 tahun bersama gaharu usia 5 bulan

Gaharu juga mencantikkan halaman rumah

MULAKAN TANAM GAHARU DI RUMAH..

Sebelum aku menceritakan projek penanaman 1,000 pokok gaharu yang di usahakan di Kg Jelebu Lenggeng , Negeri Sembilan , elok rasanya kita cerita dulu penanaman gaharu secara kecil-kecilan agar korang semua tidaklah tergaru-garu kepala dengan modal yang agak besar untuk menanam gaharu secara perladangan.

Penanaman gaharu mungkin memerlukan modal yang agak besar. Namun aku menyarankan kepada sesiapa yang nak memulakan penanaman gaharu agar menanamnya di sekeliling rumah . Anak pokok gaharu boleh di dapati dengan harga RM 10 - RM 15 sepokok. Mulakan sedikit demi sedikit , Insya Allah ianya adalah satu pelaburan yang menguntungkan dan bebas dari riba. Tapi keuntungannya lambat sedikit, yolah solopeh tujuh tahun! Tapi bagi yang duduk rumah flat atau rumah teres tanpa tanah bak kata orang nogori – ‘tak dapek la den nak nolong de….’ Jadi moralnya kalau ada rezeki carilah rumah yang ada sedikit tanah bukan sahaja untuk tanam gaharu tapi senang nanti sedara mara nak datang dan anak cucu nak bermain.

Aku telah mula menanam kira-kira 35 pokok gaharu di sekeliling rumah pada 5 bulan yang lalu. Perkembangannya kira ok la, pokok tu kini hidup dengan subur dah ketinggiannya sudah melebihi anak lelaki aku yang umur lima tahun . ( lihat gambar tu, anak lelaki sorang je, hensem jugak le )

Bila dah tanam ramai juga jiran-jiran yang bertanya tanam pokok apa tu? Sebab pokok gaharu ni daunnya persis pokok durian , jadi jiran sebelah dok gabra takut durian kena hempap kat kereta diorang. Puas jugak la nak explain, bila dah tau ada juga la yang berminat.

Pokok gaharu ni lasak, payah nak mati yang penting kena siram hari-hari. Tapi kalau makan dek kambing mati le jugak. Pembajaannya juga tidak memerlukan kos yang tinggi cuma pakai baja organik seperti baja tahi lembu . Tapi aku menggunakan baja gunung berapi yang diimport dari Indonesia. Bila pokok gaharu ni dah besar nampak cantik dan dah jadi semacam pokok hiasan di rumah dan akan meredupkan halaman rumah. Jangan risau pokok gaharu ni bila dah usia 7 tahun tidaklah sebesar dan setinggi mana. Akarnya adalah akar tunjang bukan akar yang berselerak yang boleh merosakkan halaman rumah . Pokoknya pula akan lurus menjulang ke atas dan tak terlalu merimbun macam pokok rambutan atau mangga.

Ramai yang tanya - sebatang pokok gaharu ni berapa nilainya nanti ? aku sarankan sila dapatkan maklumat gaharu ini di dalam internet terlalu banyak info tentang gaharu ini akan di perolehi , kalau aku nak jawab semua kat sini sampai pokok gaharu aku tu besar pun tak abih jawab . Tapi bagi aku cukuplah kita nilaikan sebatang harga pokok gaharu ini bila 7 tahun nanti harganya adalah sekurang-kurangnya RM 1,000 sebatang. Itu andaian paling rendahlah… so kalau tanam 35 pokok sahaja Insya Allah akan memperolehi sekurang-kurangnya RM 35,000 bila usia pokok telah mencapai 7 -8 tahun nanti. Jadilah dapat jugak duit bekalan pencen dan hari tua. Nak harap KWSP sekelip mata boleh habis. Aku ni kerja tak ada dapat duit pencen so kena merancang sesuatu dari sekarang, jangan kita dok seronok makan gaji bila dah nak pencen mula mengelabah hutang rumah, hutang kereta , hutang personal loan tak abih lagi terpaksa pulak nak masuk direct selling la, jadi jaga la dan sebagainya.

Dekat mana nak jual pokok gaharu ni? Itu usah risau la ramai pemborongnya. Tanam je dulu usah fikir nak jual kat siapa lambek laei hasilnya . Tapi untuk pengetahuan korang Pak - Pak Arab sanggup turun ke Malaysia untuk mencari gaharu sebab di Negara Arab mana boleh tanam gaharu, tanah diorang berpasir. Jadi mereka memburu pokok gaharu ini di negara-negara Asia seperti Thailand, Indonesia, Kemboja dan Malaysia. Mereka amat memerlukan pokok gaharu untuk dijadikan minyak attar dan minyak wangi yang bernilai tinggi. Di Malaysia gaharu dah ramai juga yang menanamnya antara tokoh terkenal yang mengusahakanya ialah Ust Taib Azimuddin. Di Kelantan pula gaharu ini telah di tanam secara komersial oleh kerajaan Kelantan dengan melibatkan tanah terbiar orang kampung.

So anda sudah tahu serba sedikit info gaharu. Nanti aku akan ceritakan projek penanaman gaharu yang aku dan partner usahakan di Lenggeng Negeri Sembilan. Projek ribu-ribu ooo... Sudah gaharu cendana pula , sudah tahu bilo nak mulo…???





APA ITU GAHARU ?


Petikan Utusan Malaysia - GOPENG 19 Jan. - Sama ada percaya atau tidak, seseorang itu boleh menjadi jutawan hanya dalam tempoh sekurang-kurangnya tujuh tahun jika menanam sebanyak 400 pokok gaharu di kawasan seluas 0.4 hektar.

Ini bermakna, berdasarkan harga pasaran, setiap pokok gaharu yang berusia antara tujuh hingga sepuluh tahun mempunyai nilai antara RM5,000 hingga RM20,000 sepokok.
Sememangnya pokok gaharu mempunyai nilai yang sangat tinggi dan ia merupakan faktor utama mengapa David Ho Kwan Meng sanggup berbelanja besar mengusahakan ladang gaharu pertama di negara ini.

Beliau yang telah hampir 20 tahun berkecimpung dalam penanaman pokok gaharu kini mula mengorak langkah dengan lebih agresif apabila bertekad mengusahakan ladang gaharu seluas 113 hektar di sini.
'Dahulu saya tidak mampu untuk menanam pokok gaharu dalam jumlah yang banyak kerana kosnya agak tinggi iaitu sekitar RM15,000 bagi setiap 0.4 hektar. ''Sekarang, selepas anak-anak habis belajar barulah saya boleh buat tanaman secara besar-besaran di kawasan seluas 113 hektar ini kerana yakin ia bakal mendatangkan hasil cukup lumayan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

David yang merupakan Pengarah Urusan Gaharu Technologies Sdn. Bhd. berkata, punca utama mengapa pokok gaharu amat bernilai tinggi adalah kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan produk kesukaan ramai iaitu minyak wangi. Selain itu, ia juga boleh menghasilkan pelbagai haruman yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi sejak zaman berzaman.

Pada masa yang sama, daun-daun pokok gaharu boleh dijadikan produk teh hijau yang kini menjadi kegemaran ramai kerana mempunyai aroma yang menyegarkan selain rasanya yang cukup lazat.Menurut David, minyak kayu gaharu juga boleh dijadikan sebagai bahan menghasilkan kosmetik kecantikan.Katanya, tidak cukup dengan itu akar-akar kayu pokok gaharu ini pula boleh dijadikan produk ubat-ubatan.

''Sebab itulah pokok gaharu ini mempunyai nilai yang sangat tinggi. Malah nilai sebatang pokok gaharu boleh mencecah sehingga RM3 juta ringgit jika mempunyai minyak yang banyak.
''Namun kebiasaannya pokok gaharu yang bernilai jutaan ringgit itu berumur antara 20 hingga 30 tahun dan dari jenis baka yang baik," katanya.

Menurut David, teknologi yang dihasilkan syarikatnya telah membolehkan pokok gaharu boleh dijual dalam tempoh lebih singkat iaitu sekitar tujuh hingga sepuluh tahun berbanding 20 tahun pada masa lalu.

''Ini kerana pokok gaharu yang kami hasilkan adalah jenis kacukan, dalam tempoh tujuh tahun ia sudah boleh ditebang kerana sudah cukup besar dan mempunyai minyak yang banyak.
''Jika orang menanam pokok gaharu baka lain, tidak semestinya ia boleh mendatangkan hasil seperti pokok gaharu yang kami hasilkan.
''Penjagaan pokok gaharu juga mudah tetapi mesti dilaksanakan dengan betul. Kita akan menyuntiknya dengan hormon apabila sudah berusia enam tahun supaya ia benar-benar berkualiti," katanya.
INFO TAMBAHAN TENTANG GAHARU
Gaharu adalah sejenis damar yang terbentuk secara semula jadi akibat daripada tindak balas pokok gaharu ke atas serangan fungus/bakteria (penyakit). Pokok yang diserang menyebarkan sejenis minyak berbau bagi melindungi bahagian yang cedera ( sama ada akar, batang, dahan dan sebagainya ) di mana minyak ini lama kelamaan akan menjadi keras ( damar ). Bahan damar yang terhasil ini pula mengandungi bahan sari atau resapan damar yang wangi dan dikenali sebagai gaharu.

Kegunaan Gaharu - Gaharu digunakan dalam pelbagai cara termasuk perubatan tradisional, artifek-artifek seni dan pati minyak. Gaharu dibakar untuk menghasilkan bau-bauan yang wangi sejak dahulu lagi oleh orang-orang Cina, Arab, India dan Jepun yang mana ia banyak digunakan dalam perayaan-perayaan, adat dan keugamaan. Pati minyak yang di ekstrak daripada gaharu pula digunakan sebagai bahan campuran minyak wangi sebagai contoh, minyak ‘attar’, iaitu wangian berasaskan air yang mengandungi minyak ekstrak gaharu. Wangian tersebut digunakan secara meluas oleh orang Islam.

Penjagaan Dan Rawatan Tanaman - Anak-anak pokok perlu dijaga dengan sempurna pada peringkat awal pertumbuhan. Rawatan susulan seperti pembersihan sekeliling pokok tanaman daripada rumpai musuh, pembajaan yang sesuai dan pemangkasan pucuk anjur pelbagai cabang pokok perlu dilakukan. Biasanya pokok gaharu boleh mendatangkan hasil pada usia 7 tahun.

SUDAH GAHARU CENDANA PULA, SUDAH TAHU BILA NAK MULA? NANTIKAN PAPARAN SELANJUTNYA...

SURAU OH SURAU... JOM BUAT PELABURAN AKHIRAT !

Di sinilah tapak surau bakal didirikan
papan tanda mohon sumbangan
Ahli jemaah melimpah ke luar surau
Gambar di atas adalah suasana di surau taman tempat saya tinggal iaitu di Taman Sri Pulai 3 , Sikamat Seremban. Saya baru sahaja berpindah ke taman tersebut kira-kira 4 bulan yang lalu, sebelum ini saya menetap di Taman Warisan Puteri , di situ suraunya disediakan oleh pihak pemaju dan aktiviti surau sangat aktif serta berjaya mengundang kehadiran ramai jemaah . Saya sempat berkhidmat sebagai Setiusaha selama 3 tahun di Surau Al-Hidayah , Taman Warisan Puteri sebelum mengundur diri kerana berpindah ke taman baru.

Surau di Taman Sri Pulai 3 ini di namakan Surau Al – Hikmah dengan kehadiran jemaah setiap hari kira-kira 10-15 orang. Kalau surau ini besar saya rasa akan lebih ramai lagi para jemaah yang mampu diisi kerana jumlah penduduk di taman tersebut mencecah 400 orang . Pemaju di taman ini tidak menyediakan surau untuk penduduk tetapi telah memberikan satu tapak untuk di jadikan surau Saya merasa kagum dengan inisiatif jawatankuasa surau tersebut yang menjadikan sebuah rumah sewa sebagai surau sementara bagi tujuan solat berjemaah dan tempat perhimpunan siratulrahim penduduk di taman tersebut.

Walaupun surau tersebut bertaraf surau sementara kegigihan jawatankuasa surau mengimarahkan aktiviti surau amat dihargai. Aktiviti keagamaan seperti kuliah subuh, kuliah bulanan, bacaan yasin, majlis korban, ceramah Israk Mikraj dan sebagainya telah berjaya diadakan walaupun dengan sebuah rumah sewa sahaja. Saya juga pernah menjemput ahli jemaah surau ke rumah saya untuk bacaan doa selamat serta tahlil arwah ayah dan alhamdulilah hampir 60 orang ahli surau dan penduduk taman yang hadir.

Saya dimaklumkan telah 3 tahun rumah sewa itu dijadikan surau bagi penduduk-penduduk di taman tersebut. Surau tersebut paling ramai pun hanya boleh memuatkan 25 orang sahaja. Sempena bulan Ramadhan ini kehadiran para jemaah telah melebihi muatan , pihak jawatankuasa telah mengambil inisiatif memasang khemah di luar surau untuk menampung kehadiran jemaah. Saya kesian juga kepada mereka yang berjemaah di luar dalam keadaan yang kurang selesa, panas dan kalau hujan mungkin lebih menyukarkan. Jemaah wanita pula terpaksa ditempatkan di bilik utama rumah tersebut

Pihak Jawatankuasa surau telah berusaha sedaya upaya mencari dana bagi menampung kos pembinaan surau tersebut dengan membuat kutipan derma daripada penduduk, golongan korporat dan memohon kepada pihak- pihak yang berkenaan. Namun sehinggi kini dana yang terkumpul adalah sebanyak RM 30,000 sedangkan kos pembinaan dianggarkan RM 150,000 – RM 200,000. Saya sendiri akan mencuba mencari dana bagi pembinaan surau tersebut dari sumber-sumber yang saya rasakan boleh membantu.

Kepada anda diluar sana yang ingin menambahkan saham akhirat dengan membantu pembinaan surau ini bolehlah berbuat demikian dengan menghantar sumbangan ikhlas anda ke akaun Bank Islam Surau Al-Hikmah 05-012-01-006781-1 sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Bendahari surau En Redzuan b. Mohamad Thany di talian 019- 6529098 . Ayuhlah kita mewakafkan sedikit harta kita bagi membina sebuah lagi rumah Allah di samping sebagai bekalan kita menuju ke negeri yang abadi . Sumbangan anda amat dialu-alukan hulurkan tangan ringankan beban. Firman Allah SWT

“Katakanlah kepada hamba2 Ku yang beriman, 'hendaklah mereka mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tiada jual beli dan persahabatan". (surah Ibrahim:31)



ADA APA DENGAN GAHARU ??


Kata orang tua ' sudah gaharu cendana pula sudah tahu bertanya pula....' Apa ada dengan gaharu? kenapa orang sibuk untuk tanam gaharu? betul ke harga gaharu lebih mahal nilainya dari emas? Persoalan demi persoalan menerjah di ruang fikiran ketika mana seorang sahabat lama saya Saudara Zulkifli Omar mempelawa saya memulakan projek penanaman gaharu.
Akhirnya saya sudah 'terjebak' dengan projek penanaman gaharu sebanyak 1,000 pokok dengan usahasama seorang rakan di Kg Jelebu Lenggeng. Kenapa saya berani menceburkan diri dalam arena penanaman gaharu ini? dah fikir habis ke? hasilnya 6-7 tahun lamanya! Sebelum saya mengambil keputusan memulakan projek penanaman gaharu ini banyak kajian sendiri telah dilakukan dengan melihat artikel gaharu di internet dan pergi sendiri ke kebun gaharu milik Sdr Zulkifli Omar.
Berpotensi ke penanaman gaharu? berapa harga sepokok gaharu? gaharu tu nak buat apa? itu soalan - soalan biasa yang pada satu ketika dahulu bermain-main di fikiran saya dan membuatkan sesiapa sahaja tergaru-garu kepala dek gaharu ni. Saya kira buat permulaan cukup di sini cerita mengenai gaharu , saya akan ceritakan nanti bagaimana saya terlibat dengan penanaman gaharu dan apa sebenarnya potensi gaharu. Tunggu ya!

Tazkirah 4 : Mencari Kelemahan Diri


MENCARI KELEMAHAN DIRI

KITA terlalu banyak memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai orang menginginkan orang lain berubah. Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah. Kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah orang lain tetapi malangnya diri kita tidak mampu diubah.Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain?
Antara sebabnya kita tidak pernah memberi masa bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri atau pun sibuk nak mengubah orang lain akhirnya diri sendiri tidak berubah. Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah diri sendiri. Bukan hanya sekadar hanya pandai bercakap tetapi laksanakan apa yang dicakap. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya tidak dimulakan dengan diri sendiri ia akan menjadi hampa. Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa . Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap tidak serupa bikin yang kita laungkan. Kita melaungkan ‘hendaklah kamu bersyukur ‘ tapi diri sendiri tak pernah menampilkan sikap bersyukur. Kita menyuruh orang lain mencari keberkatan tapi kita sendiri melakukan perkara yang tidak diberkati Allah.
Sebelum kita di terima bekerja iaitu semasa sesi temuduga sudah pastinya kita telah berjanji akan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin tapi malangnya bila kita telah diterima bekerja wujud sikap kerja asal siap, kerja last minit , kerja janji ada, kerja bertangguh dan sebagainya.
Firman Allah swt dalam surah al Isra’ ayat 36: Dan tepatilah janji kerana setiap janji itu akan dipersoalkan pada hari akhirat

Sabda Rasulullah saw : “ tanda orang munafik ada tiga, apabila dia bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir , bila di beri amanah dia khianat” Kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak asas tidak kita bina. Kata pepatah Arab “Mulakan dengan dirimu,” .
Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani mengata itu mudah, berani berhujah itu mudah tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri.
Ada segelintirnya juga sangat berbangga dengan kelulusan yang dimiliki. Berbangga ada Ijazah, berbangga ada PHD dan lain-lain. Berbangga sijilnya dikitiraf JPA, diiktiraf LAN dan pelbagai-bagai pengiktirafan dunia yang lain. Tapi apalah gunanya pengiktirafan setinggi melangit jika kita yang kononnya berkelulusan tinggi tapi buat kerja asal siap, janji hantar. Maka jadilah kelulusan yang diktiraf JPA tadi sebagai Janji Pandai Ampu (JPA) dan kelulusan yang diiktiraf LAN tapi sebagai Loncat Atas Neraka (LAN) kerana mereka ini tidak amanah , berpura-pura dan tidak jujur dalam tugasan seperti mengambil rasuah, kerja sambil lewa, zalim, tidak adil , mencuri masa , seleweng dan sebagainya.

Golongan ini memburu kelulusan bukan utk meningkatkan ilmu tetapi semata mata untuk meningkatkan gaji, kedudukan,pengaruh atau untuk berbangga bangga dengan kelulusan yang ada, berbangga ada ijazah ada Master, ada PHD tetapi kualiti kerjanya tak setaraf, tak seberapa dan tak berbaloi dengan kelulusan yang ada…. Firman Allah swt dalam surah Al-Qasas ‘ Sebaik-baik pekerja ialah orang yang kuat dan jujur’

Allah akan menilai seorang pekerja bukan berdasarkan tinggi mana kelulusannya tetapi berdasarkan keupayaan menjalankan amanah . Rasulluah SAW bersabda “ Sesiapa yang telah mengambil upah (gaji) Allah akan menghisabnya berdasarkan amalannya. ‘

Sebagai contoh, kita tentu mengenali seorang ahli korporat Malaysia yang terkenal Tan Sri Syed Mokhtar bin Syed Nor Al-Bukhary. Beliau sebenarnya hanya berkelulusan Tingkatan 5 dan tak ada walaupun kelulusan sijil dari mana-mana universiti sehingga kini . Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung . Sejarahnya beliau hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang, Kedah tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Kerjanya masa kecil membantu ibunya menanam sayur-sayuran dan jual di pasar selain itu beliau menjual roti canai di pasar yang sama . Beliau meniaga hari ke hari. Kini dimana beliau ? Tan Sri Syed adalah usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernilai RM1.67 bilion dan banyak menderma melalui Yayasan Al-Bukhary. Ini adalah sikap beliau yang gigih bekerja dan tak pandang belakang. Ini membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan .

Saydina Umar pernah berkata kepada pegawai-pegawainya :-

“ Sesungguhnya orang yang kuat bekerja itu ialah orang yang tidak menangguhkan kerja-kerja hari ini kepada hari esok. Mereka yang melakukan demikian akan dibebani dengan timbunan kerja sehingga ia sendiri tidak tahu yang mana satu yang harus diutamakan’

Kata seorang ahli falsafah Edward Yong “ Penangguhan Adalah Pencuri Masa” mencuri dalam Islam hukumnya haram dan berdosa. Tak jatuh berdosa kalau impikan rumah besar, hari ini rumah teres , 5 tahun lagi impikan rumah banglo, tak mengapa Baiti Jannat rumah ku syurgaku , tak berdosa impikan kereta besar hari ini kereta Kancil tahun depan nak pakai Toyota Wish silakan itu impian! tapi asalkan ianya mesti diperolehi dari sumber yang halal, mampu serta tidak lupa akan segala perintah Allah bukan seperti Qarun yang kufur .

Ramai orang berani melihat kekurangan orang tetapi jarang orang berani membincangkan kelemahan diri sendiri. Sebenarnya mengubah diri tanpa sedar adalah cara terbaik untuk mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatan kita yang berubah itu akan menjadi contoh yang sangat bererti bagi orang lain. Jadi kerja jangan banyak cakap…. Tapi buat dan buktikan… buktikan hasil kerja yang bagus bukan cakap macam bagus!

Memang pengaruh dari kegigihan untuk mengubah diri tidak akan cepat dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain.Makin lama orang akan buka mata dan terdorong juga untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah diri terlebih dahulu ? Ada 6 langkah.
6 langkah tersebut ialah - Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Bagaimana mungkin kita mengajak orang berubah sedangkan kita tidak berubah. Kita cakap macam bagus tapi kerja tak bagus. Kita suruh orang lain bersyukur kita pun nampak tak berapa bersyukur. Jangan jadi seperti 'ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa bikin.
Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara yang kecil-kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar-besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar diawali dengan titik-titik hujan yang kecil.
Ketiga: Mulakan sekarang! kata orang putih (Do it now). Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil-kecil akan jadi besar jika dibiarkan.
Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dilawan nanti jadi degil.
Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Jangan rasa diri terlalu bagus, orang lain tak bagus tak ada kelulusan, tak layak dan sebagainya. Kalangan sahabat nabi pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana asyik menyalahkan orang lain.
Keenam : Kena ulang dan ulang dan ulang kebaikan sehingga sebati dengan diri

PUISI UNTUK PEJUANG-PEJUANG ZAKAT TANAHAIR


SEDEKAD BERLALU
Oleh : Mohd Rafiz bin Mohd Yusoff
9 Disember 2008


Detik demi detik berlalu
Tahun demi tahun beredar
Dan kita semakin dimamah usia

Kini sedekad telah berlabuh
Perjuangan kita tetap disini
Dengan jerih perih dan
Keringat tumpah ke bumi
Demi seruan illahi
Kaki ini akan terus melangkah gagah
Meneruskan perjuangan yang tak bertepi

Ke desa menyebar dakwah
Ke taman menyebar risalah
Ke kota menyebar seruan
Didesa, dikota, di ladang ,digunung dan dilembah
Seruan illahi rukun agama tetap di sebar
Memartabatkan zakat
Melahirkan ummah terhebat

Sungguh mulia tugasmu amil
Menabur bakti mengutip kepingan kepingan barakah
Menabur kasih pada insan insan malang
Membantu si fakir, menolong si miskin
Menjulang ekonomi ummah
Agar Islam terus dijunjung di bumi bertuah ini.

Sedekad telah berlalu
Perjuangan kita masih panjang rupanya
Tugas jihad ini belum selesai
Masih jauh perjalanan ini, berliku dan berombak
Terus melangkah dengan amanah
Berkerja ikhlas beristiqamah

Helaian-helaian barakah akan terus dikutip
Agar menjadi payung buat insan menumpang tuah
Hikmah zakat hadiah buatmu ummah
Tetap abadi zaman berzaman.

TAZKIRAH 3 : KUBUR - PERMULAAN TAMAN SYURGA ATAU KAWAH NERAKA?


KUBUR : PERMULAAN TAMAN SYURGA ATAU KAWAH NERAKA ?

Hati yang keras umpama karat yang melekat pada besi, jika karat itu nipis memadailah hanya digosok dengan kertas pasir untuk menanggalkanya. Diantara cara dapat melembutkan hati ialah mendekati majlis ilmu untuk mengikis kejahilan, mendekati ulama sebagai kunci mendapatkan ilmu dan menziarah orang sakit atau orang mati Insya Allah akan mendatangkan kesedaran di dalam jiwa.

Jika dengan tiga cara tersebut tidak juga mendatangkan sebarang kesan , ini bererti karat yang melekat didalam hati itu sudah terlalu menebal. Karat yang sudah terlalu tebal itu tidak mungkin dapat dikikis dengan hanya menggosok dengan kertas pasir sahaja , mungkin perlu di ketuk dengan kuat atau besi tersebut terpaksa dibakar dengan kepanasan api yang tinggi. Hanya dengan cara demikian segala karat yang tebal itu dapat ditanggalkan.

Cara yang dianggap lebih berkesan untuk menanggalkan karat dihati ialah dengan menziarahi kubur, ia elok dilakukan bagi memberi peluang untuk berfikir secara serius bahawa di sebalik alam kubur itu terdapat banyak peristiwa suka dan duka yang bakal ditempuh oleh setiap insan. Hanya ada dua kemungkinan di alam barzakh itu, samaada ia menjadi tempat istirehat atau tempat bermulanya siksaan sebelum seksaan sebenar di dalam neraka jahanam.

Apabila melihat batu nesan yang tercacak diatas kubur , mari kita renung betapa tubuh manusia yang bersemadi di dalam tanah , terbujur tanpa teman, walaupun semasa hayatnya dia dikelilingi anak isteri, sanak saudara, orang-orang besar, jiran – jiran dan sahabat handai . Biar setinggi mana penghargaan dan kasih sayang mereka , namun paling akrab mereka hanya mampu mendampingi kita sekadar menghantar ke tanah perkuburan. Sebaik sahaja sahaja mayat diturunkan ke dalam liang , tanah mulai menimbus jasad yang sudah tidak bernyawa , akhirnya semua yang meratapi pemergiannya akan melangkah pulang dan tinggallah dia seorang diri di dalam kubur itu.

Segala harta, kuasa, pangkat,pingat yang ada akan ditinggalkan. Para waris kemudian berhimpun untuk berbincang membahagikan harta pusaka yang ditinggalkan, kekayaan miliknya yang dihimpun sekian lama kini telah berpindah tangan. Kuasa yang ada dulu kini tidak bermakna.

Adakah mayat yang terbujur di dalam kubur adakah mendapat manafaat dari harta yang ditinggalkan? Jika dia pernah membelanjakan hartanya ke jalan kebajikan , membantu usaha memperjuangkan agama Islam, bersedekah jariah, berwakaf, berzakat, membantu fakir miskin dan seumpamanya , mudah mudahan semua itu merupakan simpanan tetap di dalam bank akhirat, yang Insya Allah keuntungan atau dividen dari simpanan tetap itu ( itu pun jika ikhlas) akan mula di terima sejak saat pertama dia menjadi penghuni di alam barzakh.

Namun bagaimana pula nasibnya jika harta itu diperolehi dengan cara yang batil seperti menipu , mengambil hak orang lain dengan kuasa yang ada, bersikap tidak adil dalam menguruskan harta , mengambil rasuah, menindas orang bawahan dengan kuasa yang ada, terlibat saham riba dan seumpamanya. Ataupun dia hanya seorang penghimpun harta tanpa mengira halal haram dan tidak menggunakan harta untuk menambah saham akhirat , sehingga tiba-tiba ajal pun datang . Maka kubur tempat ia berada itu samaada menjadi tempat beristirehat atau tempat menerima azab , hanya Allah yang Maha mengetahui.

Penghuni kubur hanya bergantung kepada ganjaran pahala dari amalan yang ikhlas , tetapi juga berharap rahmat dari Allah Taala kerana segala usaha dan ikhtiar mereka sudah berakhir, yang ada hanyalah tiga perkara. Jika mereka memiliki tiga perkara itu maka dapatlah ia menaruh harapan . Pertama ialah sedekah jariah, kedua ilmu yang memberi manafaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakan ibubapanya.

Kita semua tidak tahu bagaimana nasib penghuni kubur yang sedang diziarahi itu kerana ia kelihatan tenang dan damai . Tiada siapa yang tahu nasib para penghuni kubur itu sekalipun sanak saudara datang menziarahi kubur mereka terutamanya ketika Hari Raya. Tiada siapa yang ada pengalaman masuk kubur dan kemudian menceritakan kepada orang lain.

Walaupun mereka datang dengan menabur bunga-bungaan dan menyiram air mawar , namun semua itu tidak dapat menolong orang-orang yang terbujur di dalam perut bumi. Harum bunga bungaan tidak akan dapat dihidu oleh simati, dan air mawar yang disiram diatas pusara tidak akan menghilangkan dahaga atau mendinginkan penghuni kubur itu.

Yang dapat menolong mereka ialah makhuk yang dihantar oleh Allah SWT ke dalam kubur itu , mereka ialah para malaikat. Tetapi para malaikat itu hanya akan patuh pada titah perintah Allah SWT semata-mata, jika Allah mengkehendaki agar di cucuri rahmatNya , maka malaikat itupun akan menghantarkan rahmat, jika malaikat itu dititah untuk menghantar azab maka sudah pastilah azab yang akan diterima.

Rasulullah SAW memberitahu, sesungguhnya kubur adalah permulaan kepada taman syurga atau kawah azab neraka. Bagi orang yang mendapat rahmat dan pengampunan Allah, iaitu mereka yang sentiasa ingatkan Allah semasa hidupnya dengan melakukan ketaatan maka kubur baginya adalah lorong sebuah taman yang dipenuhi kenikmatan dan kerehatan. Tapi bagi mereka yang melupakan Allah Taala semasa hidupnya , hingga melakukan kezaliman, ketidakadilan dan kejahatan maka kubur baginya adalah lokap transit sebelum hukuman sebenar dijalankan iaitu dihumban di neraka jahanam .

Kalau orang beriman itu memahami hakikat kematian, maka ianya sudah cukup menjadi juru penasihat yang sangat berkesan. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda bermaksud, ‘Cukuplah mati sebagai penasihat.’

TAZKIRAH 2 : PEMIMPIN DAN PENGIKUT

Artikel ini pernah saya bacakan di dalam siri tazkirah di pejabat saya... Sebarkan!


PEMIMPIN DAN PENGIKUT

Ada satu kisah tentang nasihat . Iaitu nasihat Syaiban Al Ra’i kepada Harun al- Rashid: “ Wahai Amir Al- Mukminin andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut tapi akhirnya engkau berasa aman adalah lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman tapi akhirnya akan menyebabkan engkau mendapat ketakutan. Tanya Harun Al- Rashid jelaskan maksudnya kepadaku . Jawab Syaiban : Wahai Amirul Mukminin apabila saya bercakap benar , saya bimbangkan tindakan yang kamu akan ambil pada saya. Tapi jika saya berdiam diri pula saya akan bimbangkan bahaya akan menimpa kamu . Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimpa kamu lebih dari kebimbangan tindakan kamu ke atas saya”

Para penasihat yang jujur walaupun agak keras, agak berterus terang akan tetap memberitahu hakikat dan kebenaran yang sebenar sekalipun boleh menimbulkan keresahan - tapi ini adalah lebih baik dari seorang pemimpin atau pengurus yang hanya mendengar seorang pemgampu yang membohonginya contohnya kerja kata semua OK tapi sebenarnya tak OK, sehingga dia buta dengan keadaan didalam organisasinya.

Penasihat atau pekerja yang jujur akan memberitahu hakikat sebenar tentang situasi organisasi sekali pun mungkin menimbulkan ketidakpuasan hati kepada orang yang dinasihati atau ketua. Dengan itu org yang dinasihati atau pemimpin itu akan memperbaiki diri dan tahu bahawa kesilapan yang dilakukan. Ada pun pengampu demi kepentingan diri , kedudukan, pangkat, imbuhan, kenaikan gaji dan sebagainya akan terus mendendangkan lagu-lagu asyik agar pemimpin nyenyak tidur terus dibuat mimpi indah . Hanya cerita-cerita indah atau keburukan keburukan orang lain saja sahaja yang disampaikan ke telinga pemimpin. Keburukan sendiri diabaikan. Sibuk dengan tepi kain orang tapi kain sendiri koyak rabak.

Ada sebuah kisah dogengan raja yang menjadi bahan bacaan kanak-kanak. Kononnya ada seorang Raja yang gilakan pakaian yang cantik cantik . lalu muncul beberapa orang penipu kononnya boleh menghasilkan pakaian yang paling cantik untuknya . Raja tersebut pun bersetuju . Mereka meminta beberapa hari untuk menenun pakaian itu disebuah bilik di istana. Saban malam Raja melawat hasil yang di tenun mereka . Namun Raja tidak melihat atau nampak sebarang kain atau benang yang di jahit , sebaliknya hanya tipu tipu menjahit sahaja. Kainnya pun tak ada. Apabila Raja bertanya di tidak nampak baju itu mereka menjawab ” Jika tuanku tidak nampak , menunjukkan tuanku mempunyai penyakit yang berbahaya dan boleh membawa maut” Dalam ketakutan Raja menjawab ” Ya saya nampak, cantik... cantik..... ” Demikianlah juga menteri-menteri dan pengiring Raja juga mengatakan nampak pakaian itu kerana ingin mengampu Raja. Sehingga pada hari yang dijanjikan, Raja pun memakai pakaian yang sebenarnya tak wujud itu dan disarungkan secara tipu tipu oleh penenun-penenun karut tersebut. Semua pengampu Raja memuji pakaian yang sebenarnya tidak wujud itu , padahal raja sedang bertelanjang. Apabila Raja keluar untuk memperajakan pakaian itu kepada rakyat, maka semua mata terbeliak dan mulut terganga. Raja pulak menyangka mereka kagum dengan pakaiannya yang indah . Tiba- tiba seorang budak kecil berteriak ” Eh tengok tu Raja kita sedang bertelanjang” . Maka semua rakyat ketawa . Barulah Raja tahu bahawa dia telah ditipu oleh tauke - tauke tenun karut dan para pengampu yang berada di sekelilingnya. Namun masa telah terlambat , dia telah dimalukan dihadapan rakyat.

Walaupun cerita ini dongeng ia menjadi realiti hidup hari ini . Seorang pemimpin atau ketua atau pekerja amatlah malang jika ia diperdaya oleh para pengampu sehingga menyusahkan dirinya sendiri. Atau dia dibenci orang lain kerana sering di ampu sehingga merasakan semua orang sentiasa berpuas hati dan sukakanya. Sebab itulah dosa pengampu amatlah besar dengan nasihat yang buruk atau suka mengadu domba maka telah jatuhnya kerajaan yang lampau dan akan datang. Ini dapat dilihat seperti dalam filem Allahyarham P.Ramlee , Tiga Abdul - Si Tuan Penasihat 25 % . Akhirnya apa jadi padanya ? akhirnya yang dinasihati sendiri akan dijual secara lelong.

Maka bisikan, pandangan dan nasihat orang setiap orang jangan di pandang ringan dan berlakulah adil. Walau pun pahit tapi itui adalah ubat yg menyembuhkan. Jangan hanya mendengar adu domba orang berpangkat semata-mata atau orang kepercayaan semata mata. Tangisan rakyat dan tidak puas hati mereka selalu tidak sampai ke telinga mereka jika hanya dikelilingi oleh manusia manusia pengampu dan mencari wang dan pangkat semata mata. Pandangan atau nasihat oleh mana-mana individu jika tidak di peduli malah di perlekeh jika tidak ditangani akan menjadi api membakar perasaan kebencian yang meluap luap. Jika itu diterjemahkan dalam tindakan , maka kestabilan sesebuah organisasi akan merasai bahangnya.

Kepada setiap manusia , bukalah seluas-luasnya untuk setiap orang mengemukakan pandangan dan mendapatkan haknya. Mudahkanlah jalan untuk sampai kepada kebenaran tanpa ganguan dan tekanan. Kata Khalifah Ali bin Abi Talib ” Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya boleh dibeli ”

Wujudkan saluran yang terbuka agar suara dan pendapat setiap orang di dengari. Bukan diherdik dan diperlekehkan. Hapuskan para pembodek yang sering mengadu domba sehingga garam dikatakan gula, pasir dikatakan beras, tangisan diberitakan sebagai senyuman. Carilah insan-insan jujur yang takutkan Allah dan bercakap perkara yang benar walaupun pahit.

Dengarlah apa nasihat Khalifah Mua’wiyah kepada Amr Bin Al Anas yang akan berangkat ke Mesir utk menjadi pemimpin di sana. Kata Mu’awiyah pada Amr ” Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah mendengarnya. Lihatlah kepada kelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya . Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang . Sesungguhnya yang akan memberontak ialah orang baik apabila ia lapar dan orang jahat apabila ia kenyang” Itulah pesan Muawiyah .

Lebih buruk lagi para pengampu ini apabila melihat seseorang yg telah diampu akan jatuh atau rebah, mereka akan lari mencari dahan baru untuk berpaut. Maka orang yang diampu akan menjadi raja telanjang berseorangan , sementara yang mengampu akan menyembunyikan diri atau melarikan diri dan akhirnya meletakkan jawatan. Maka dengan itu berhati- hatilah dengan jawatan yang ada dan elakkan ampu sana ampu sini... adu sana adu sini...




TAZKIRAH PERTAMA : KEHIDUPAN , UJIAN DAN KEREDHAAN ALLAH


Tazkirah ini telah di bacakan di tempat kerja saya pada 23 Ogos 2009... sebarkan....

KEHIDUPAN, UJIAN DAN KEREDHAAN ALLAH
Oleh : Mohd Rafiz bin Mohd Yusoff

Hidup ini tiada sunyi dari ujian , samaada ujian susah dan mahupun senang , suka dan duka datang silih berganti siapa saja akan menyangka bahwa hidup ini senang semata, suka semata, berkuasa semata-mata dan mewah semata atau ada pula orang menduga sebaliknya iaitu dirasakan hidup ini susah semata , sukar terus menerus dan sempit selama - lama nya. Sudah pasti sangkaan dan dugaan itu salah belaka. Itulah rupanya seni kehidupan ,sunatullah pada alam ini. ALLAH SWT, memerintahkan kepada malaikat malaikatNYA untuk memberikan aneka cobaan dan ujian kepada Manusia.

Dengan hadirnya ujian itu ALLAH berkehendak untuk mengorek apa yang tersembunyi dalam hati hamba Nya, sebagaimana yang tertera dalam hadis Qudsi:
“ALLAH berfirman kepada malaikat malaikat NYA: pergilah kepada hamba-KU.lalu limpahkanlah bermacam macam ujian karena aku ingin mendengar suaranya” (HR.Thabrani).

Begitupun orang beriman juga tidak luput dari ujian. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk mengukur kadar keimanan seseorang, disamping tentunya untuk mengetahui apakah orang tersebut benar - benar beriman secara tulus atau sekadar dusta belaka.

Hal ini ditegaskan ALLAH dalam AL-QUR’AN surat Al-Ankabut Ayat 2-3 : “Apakah Manusia mengira bahwa mereka dibiarkan mengatakan, kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang orang sebelum mereka,dan benar benar ALLAH mengetahui orang orang yang benar dan mengetahui pula orang orang yang dusta”.

Perlu diketahui, ujian yang datang tidak semata berwujud kesusahan dan kesakitan, tetapi terkadang hadir dalam bentuk kesenangan, kekuasaan dan keuntungan materi (kekayaan dan harta ), sebagaimana termaktub dalam AL-QURAN surat Al-Anbiyah ayat 35 : “Dan Kami uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan,dan kepada kami-lah kalian akan kembali”.

Dalam kenyataan hidup sebenarnya ujian berupa kesenangan, kekuasaan dan kekayaan lebih berat daripada ujian berupa kesusahan. Betapa banyak orang yang memperoleh kekayaan dan kekuasaan tapi justru kekayaan dan kekuasaan itu akhirnya akan menyebabkan kecelakaan baginya. Kekayaan dan kekuasaan sebanarnya menjadi ujian yang besar bagi dirinya. Kekayaan dan kekuasaaan menyebabkan manusia hanyut dengan kehidupan dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin kedudukan dan harta benda mereka.

Demikian juga dapat kita saksikan orang yang di uji dengan kekuasaan, kemegahan dan lain lain seperti yang berlaku pada Qarun , Firaun, Salabah dan sebagainya kesemuanya menemui kecelakaan

Hal ini sebenarnya telah di peringatkan ALLAH SWT dalam surah Al Alaq : “Ketahuilah ! Sesungguhnya manusia benar benar melampaui batas dikala menganggap dirinya serba cukup, sesungguhnya hanya kepada Tuhan-mu lah tempat kembali” (Al-Alaq :6-8).

Dalam sebuah Hadist, Rasulullah SAW, menegaskan : ”Demi ALLAH, bukanlah kefakiran dan kemiskinan yang akan aku khawatirkan atas kalian. Akan tetapi aku khawatir (kalau kalau) kemewahan dunia yang kalian dapatkan sebagaimana telah diberikan kepada orang orang sebelum kalian, lalu kalian bergelumang dalam kemewahan itu sehingga kalian binasa”.(HR.Bukhari).

Daripasa Al Imran ayat 14 - “Telah dihiaskan kepada manusia kecintaan akan hawa nafsu berupa wanita, anak, berpikul pikul harta benda berupa emas dan perak, kuda pilihan (iaini kendaraan), binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, pada hal ALLAH memiliki tempat kembali yang jauhhh lebih baik” (Al-Imran :14).

Bagi kaum laki laki, ujian terberat adalah kaum wanita, wanita yang soleh adalah penawar, - namun jika sebaliknya pula, - ia adalah racun sangat bahaya dan berbisa .Nabi bersabda :”Sepeninggalku, tiadalah ujian yang paling berbahaya bagi kaum lelaki kecuali golongan kaum wanita”(HR Bukhori)

Untuk itu marilah kita sama sama mencari redha Allah swt, - Apabila kita menyampaikan sesuatu kebenaran lalu dibalas dengan sebuah tamparan dan kejian yang menyakitkan, maka bersabarlah kerana ia juga adalah ujian . Kerana bukan redha manusia yang kita harapkan. Bukan jua tagih simpati mereka yang kita nanti-nantikan. Bukan pula mereka yang memberi rezeki.

Rasulluah SAW menengakkan kebenaran dan ingin umatnya tunduk pada suruhan Allah tetapi dibalas dengan cercaan, dibaling batu, di buru untuk di bunuh dan pelbagai bagai ujian lagi
Sesungguhnya kita wajib menyampaikan sesuatu yang perlu disampaikan. Kita menyampaikan hanya kerana Allah jua. Maka, apa jua yang kita lakukan, hanya kepada Allah tempat kita berharap. Kepada Allah jua tempat kita kembali. Dan Allah jualah yang memberi kita rezeki dan pertolongan.

Dari Jabir b Abdullah berkata, Rasulullah SAW bersabda :-
"Barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, Allah akan mencukupkan baginya segala keperluannya; namun barangsiapa yang mencari marah Allah dengan redha manusia, maka Allah akan menyerahkan untung nasibnya kepada manusia.."

Maka, usahlah kita bersedih. Tidak perlu kita berputus asa. Jika jalan kebenaran yang kita cari, kita akan mendapat redha dan pahala dari sisi Allah swt. Allah akan cukupkan keperluan kita kerana rezekiNya maha luas.Istiqomahlah di atas jalan kebenaran satu masa nanti kebahagiaan akan menjadi milik kita.

Sesungguhnya, untuk mereka yang melaksanakan kebaikan itu, dari sisi Allah jua pahalanya, dan ia tidak akan tersirna dek kerana kejian , makian, umpatan, pulauan manusia . Hanya pahala dan kebaikan dari Allah-lah tujuan sebenar kita.

Kita harus mencari redha Allah . Jauhi sekali mengharap habuan manusia yang sedikit jika dibandingkan kurnia dan pahala dari sisi-Nya. Bagi yang terus mencari redha manusia dengan marahnya Allah - berapa lama kita bahagia dengan keredhaan itu? Kekalkah ia? Bolehkah kita tenang dan bahagia selamanya? atau bahagia yang sementara? Atau akhirnya kecelakaan akan menanti kita suatu masa nanti……

Kata Imam Syafie dalam sebuah kitabnya : “Sampai bila-bila pun kita tidak mampu dan akan mencapai kesemua redha manusia.”

Justeru marilah kita sama-sama mencari Redha Allah, berkatalah benar walaupun pahit kerana dengan kebenaran itulah yang akan membahagiakan kita di negeri abadi.

Carilah redha Tuhan, kita tidak akan kecewa , Carilah redha Allah, kelak kita akan tenang Jika hanya mencari redha manusia, kita akan kecewa satu hari nanti. Biarlah kita dipinggirkan di dunia yang sementara ini dari dipinggirkan atau di humban di neraka jahanam akibat perbuatan kita yang sentiasa mencari redha manusia melebihi redha Allah.

Apa ada dengan blog ?




Di zaman teknologi yang semakin berkembang pesat ini semua orang kini telah mempunyai blog peribadi sendiri. Mulanya bila melihat rakan-rakan mempunyai blog sendiri saya merasakan tidak ada manafaat apa-apa dari blog tersebut melainkan untuk seronok-seronok sahaja. Namun apabila melihat cerita-cerita dan kisah hidup seseorang blogger rasa seronok dan teruja pula. Banyak yang dapat di pelajari dari pengalaman hidup seseorang yang kadangkala menjadi pengajaran dan pedoman untuk kita meneruskan kehidupan. Untuk itu saya akan muncul membawa pelbagai isu -isu dan perkongsian pengalaman selama 34 tahun hidup di muka bumi ini. Sesungguhnya hidup ini adalah perjuangan menuju negeri yang abadi. Perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata... blog ini akan menjadi satu wadah perjuangan untuk bersama blog-blog yang lain dengan tujuan menyebarkan ilmu dan memaparkan isu-isu yang berinformasi, berani dan adil. Nantikanlah kemunculan rasmi blog ini di satu tarikh keramat yang pastinya mengegarkan lagi dunia siber .

SALAM UKHWAH BUAT SEMUA !!!!


Terima kasih kerana sudi menjengok ke blog saya. Selamat Datang diucapkan. Salam Ukhwah ! Blog ni baru lahir pada 24 Ogos 2009 bersamaan 3 Ramadhan 1430H. Buat masa ini tiada apa-apa pun yang boleh dibanggakan di dalam kandungan blog ini . Tetapi Insya Allah blog ini akan di jadikan sumber ilmu tidak kira apa isu seperti isu semasa, politik, agama, motivasi, bisnes, pertanian, berita tempatan, kisah sensasi dan sebagainya. Kemunculan blog ini akan mengegarkan industri blog tanahair. Nantikan apa yang akan termuat di dalam blog ini dengan motto berinformasi, adil , berani dan telus - blog ini pasti akan menjadi blog pilihan anda semua. Salam ukhwah dari saya semoga anda semua akan mendapat manafaat dari kelahiran blog ini.