JAWAPAN NIK AZIZ TENTANG ISU DINAR DAN DIRHAM


NOTA : Kita telah mendengar ulasan Senator Dato' Dr Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan tentang Dinar dan Dirham, untuk memberikan keadilan saya paparkan penjelasan Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengenai Dinar dan Dirham yang menjadi isu hangat di akhbar-akhbar utama sekarang. Terpulanglah pada pembaca untuk membuat penilaian dan mencari kebenaran.

Oleh : Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Kadang-kadang tingkah laku pemimpin pusat ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan, itulah yang akan dibangkang habis-habisan . Sebut saja apa jua perkara yang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin pusat ‘menunjuk cerdik’ memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka.

Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai ‘budaya pemalas’, akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

Terbaru apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah Emas Dinar dan Perak Dirham (D&D) 12 Ogos lepas, maka bersatulah pemimpin Umno untuk menghentam langkah ini. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam kerajaan Kelantan.
Saya ingin nyatakan, apakah salahnya Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika Umno BN enggan memulakan, jangan pula menidakkan usaha pihak lain. Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Haji Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan oleh Kelantan bukanlah matawang, ia hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade.
Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan. Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak. Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan billion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti!

Seperti yang saya nyatakan di dalam ucapan perasmian pelancaran 12 Ogos lepas, sistem wang kertas diperkenalkan oleh penjajah untuk menguasai ekonomi umat Islam. Hasilnya, seluruh manusia di dunia diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untuk mempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas.
Kertas tersebut hakikatnya langsung tidak mempunyai sandaran yang didakwa. Jika kita menaiki bas atau keretapi contohnya, kita membayar dan diberikan resit. Resit tersebut ialah tanda kita telah membayar kepada perkhidmatan yang diberikan, ertinya resit tersebut tidak mempunyai nilai apa-apa kecuali setelah bayaran diberikan. Hari ini, bank mengeluarkan wang kertas tanpa sebarang sandaran nilai. Kononnya ia disandarkan pada nilaian emas, hakikatnya ia disandarkan kepada keadaan ekonomi semasa sesebuah negara. Ini sebenarnya lebih teruk dari resit bas dan keretapi tadi.
Realitinya matawang tidak berharga melainkan jika Kerajaan memberi nilai kepadanya. Wang kertas RM1 bukan bernilai RM1 daripada segi harga kertasnya. Ia bernilai RM1 kerana itulah nilai yang ditetapkan oleh Kerajaan. Jika Kerajaan mencetak angka lima atau sepuluh maka nilai kertasnya tidak naik kepada RM5 atau RM10. Hanya pengakuan dan jaminan Kerajaan yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan. Itulah hakikatnya wang kertas.
Tertarik saya apabila seorang Timbalan Menteri yang baru-baru ini heboh telah meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa Dinar Emas dan Perak Dirham ini boleh menyebabkan kerugian. Terlintas di benak saya, jika begini taraf pemikiran seorang timbalan menteri, apa pula jenis pemikiran yang ingin diasuh kepada rakyat.

Emas merupakan komoditi yang paling stabil harganya. Ia akan terus meningkat jika dibandingkan dengan wang ringgit. Bukankah Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu? Mari kita semak harganya. Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1,082. Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104. Ertinya jika seseorang melabur sebanyak RM108,200 dengan membeli seratus keping Kijang Emas pada tahun 2001, kini ia boleh dijual dengan harga RM410,400. Keuntungan 400% dalam masa 9 tahun! Butiran ini boleh dilayari di (http://www.bnm.gov.my/). Ini bukti harga emas tidak akan turun sehingga merugikan. Paling tidak pun, lebih baik daripada sebuah syarikat penerbangan yang rugi RM535 juta pada suku kedua tahun ini!

Di dalam al-Quran sendiri menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur selama 309 tahun di dalam sebuah gua. Apabila bangkit mereka menggunakan duit perak yang ada di tangan mereka untuk membeli makanan. Ertinya, selepas 309 tahun, duit itu masih elok dan mempunyai nilai seperti sedia kala.

Justeru, saya nasihatkan kepada pihak-pihak tertentu, janganlah terburu-buru menidakkan usaha-usaha kerajan Kelantan. Tidak cukup tenaga di Malaysia, diambil pula tulisan kolumnis yang beraliran orientalis untuk menghentam kami. Sehingga langkah kami mengasingkan kaunter bayaran di pasar raya disifatkan sebagai ’aparteid agama’. Bagaimana pula langkah Keretapi Tanah Melayu menyediakan gerabak khas bagi wanita? Itu aparteid apa namanya?
Saya ingin bertanya, apa kurangnya kami di Kelantan dengan anda yang berada di Pusat. Jika anda mempunyai pakar ekonomi, kami pun mempunyai pakar ekonomi. Takdirnya bertukar teraju di Putrajaya nanti, kami juga mampu mentadbir bahkan lebih baik dari anda, Insya-Allah. Janganlah dibiarkan hasad dengki menguasai menyebabkan ternafinya segala kebaikan yang kami lakukan. Jangan pula kami di sini melancarkan Dinar dan Dirham (D&D), anda di sana melancarkan dengki dan dendam!

Akhir kata, jika datanglah bertadarus dengan kami di Kelantan di bulan Ramadan ini. Salah satu ayat yang menjadi menjadi bacaan kami sekarang ialah ayat 63 dari Surah al-Furqan yang bermaksud: ”Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.”

‘ Dinar emas boleh elak manipulasi dan penipuan’ - Tun Dr Mahathir



NOTA : Saya paparkan teks ucapan Tun Dr Mahathir ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan mengenai Ekonomi Emas Dinar pada tahun 2007. Pendapat Tun Mahathir agak berbeza dengan Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Dr Awang Adek. Terpulanglah pada kita untuk mencari kebenarannya. Yang pasti kerajaan Kelantan telah memulakan usaha untuk menghidupkan sunnah nabi dengan memperkenalkan Dinar dan Dirham.


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun urusniaga menggunakan dinar emas boleh mengelak manipulasi dan penipuan, tetapi malangnya tiada negara, termasuk negara Islam yang mahu melakukannya. Bekas Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Emas Dinar 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) .

Beliau berkata, seketika dahulu Malaysia pernah mahu menggunakan dinar emas dalam urusniaga tetapi tidak berjaya dilaksanakan kerana tiada negara lain yang sedia menjalankan urusniaga menggunakannya. Bagaimanapun, beliau tidak membuat cadangan khusus supaya kerajaan menggunakan dinar dalam urusniaganya.

"Tetapi kita masih boleh melaksanakannya hari ini kerana Dolar Amerika tidak ada nilai," katanya kepada wartawan. Beliau berkata, dinar emas tidak sama dengan matawang kerana kerana ia tidak boleh dimanipulasi di pasaran semasa. Katanya, dinar juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dari urusniaga harian sehingga kepada urusan perkahwinan dan ibadah haji.

Bagaimanapun, katanya, untuk menjadikan dinar emas sebagai wang alternatif perniagaan bukanlah mudah kerana ia boleh menyebabkan ekonomi negara gagal atau musnah. Sementara itu dalam ucaptamanya Dr Mahathir berkata, sekalipun Malaysia menggunakan dinar emas, namun sistem perdagangan lama terus digunakan. "Apabila kita memperkenalkan perbankan Islam, sitem perbankan lama masih dikekalkan," katanya.

Beliau berkata, Bank Pusat patut menerima bayaran dari pengimport di dalam negeri dan dan digunakan untuk membayar kepada pengekport dari negara sama. Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, dinar emas masih mempunyai masalah iaitu dari segi pengangkutan kerana ia sangat berisiko.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, umat Islam hari ini menjadi lebih kaya dari sebelumnya, khususnya dari segi pendapatan dalam dolar Amerika, tetapi tidak menggunakan sistem perbankan ataupun atau wang untuk kepentingan mereka. Menurut Dr Mahathir, mereka sebaliknya menyimpan wang di negara luar khususnya di Amerika yang digunakan oleh kuasa besar itu untuk membunuh orang Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan.

"Saya kira para ulama perlu mengeluarkan fatwa bagaimanakah hukumnya orang Islam yang menyimpan wang di Amerika yang kemudiannya digunakan untuk membunuh orang Islam sendiri," katanya.

‘Guna Dinar Peniaga dan Pembeli Berdepan Risiko di tipu’ – Dr Awang Adek


NOTA : Saya terbaca kenyataan Senator Dr Awang Adek , Timbalan Menteri Kewangan Malaysia tentang keburukan pengunaan dinar di Negara ini. Setelah Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong pengunaan Dinar Emas, Dr Awang Adek pula tidak bersetuju dengan pengunaannya. Saya tidak mahu mengulas panjang mengenainya. Dinar Emas adalah matawang Islam yang sebenar, digunakan oleh Rasulullah dan Khalifah Umar Abdul Aziz di zaman kegemilangan Islam. Namun akhirnya dinar dan dirham di tukar dengan wang kertas yang semakin hari semakin merosot nilainya. Apa komen pejuang-pejuang dinar dan emas tentang kenyataan Dr Awang Adek di ini ?

BACHOK 16 Ogos - Lebih 1,000 pengusaha kedai dan restoran di negeri ini bakal berdepan risiko tinggi termasuk ditipu sekiranya menggunakan mata wang dinar emas dan dirham perak yang diperkenalkan kerajaan negeri untuk transaksi perniagaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, ini kerana sebahagian besar peniaga dan pengguna tidak mahir membezakan antara dinar emas dan dirham perak tulen dengan yang palsu.

"Mereka mungkin mudah ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana hendak mendapat keuntungan besar dan sememangnya peluang untuk menipu sering ditunggu-tunggu oleh penyangak mata wang," katanya.

Awang Adek yang juga turut mempersoalkan bagaimana pekedai di negeri ini boleh menguruskan perniagaan jual beli dengan peniaga dari Kuala Lumpur yang enggan menerima pakai mata wang berkenaan.

Beliau berkata, pengguna atau pembeli pula akan mengalami kesukaran untuk menukarnya kerana mata wang itu tidak akan diterima oleh bank konvensional tempatan kerana ia bukan nilai kewangan yang diiktiraf di peringkat nasional.

"Disebabkan kesukaran itu, nilai mata wang berkenaan akan jatuh secara mendadak. Contohnya, jika nilainya RM100 mungkin jatuh kepada RM80 tunai," katanya.

"Sebagaimana nilaian Ringgit Malaysia, ia bukan sahaja berharga sebagai mata wang domestik tetapi diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan piawaiannya yang mampu mengelak daripada dipalsukan sebagai jaminan nilainya," katanya.

Beliau berkata, golongan yang paling malang sekali rakyat yang tinggal di kampung-kampung yang tidak mempunyai pengalaman dalam urusan pertukaran wang untuk ke bandar-bandar membeli barangan dan menukarnya.

Katanya, lebih memburukkan lagi jika nilai emas jatuh secara mendadak di pasaran antarabangsa dan perkara itu tidak mustahil kerana nilai emas sentiasa turun naik setiap hari dan sukar diramal - Sumber Utusan Malaysia

1,000 PENIAGA KELANTAN TERIMA DINAR DAN DIRHAM




KOTA BHARU 12 Ogos - Kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham Kelantan yang digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mata wang syariah tersebut boleh digunakan di kira-kira 1,000 buah kedai dan restoran di sekitar bandar ini untuk transaksi perniagaan.

Beliau berkata, penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada Ringgit Malaysia (RM) tidak bertentangan dengan undang-undang dan ia dirangka mengikut peruntukan peraturan yang disediakan oleh Bank Negara.

"Mata wang syariah ini hanya pilihan kepada orang ramai untuk menggunakannya, tetapi ia juga untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai mata wang sendiri untuk perdagangan.
"Sejarah juga membuktikan bahawa dinar emas dan dirham perak tidak akan terjejas dengan inflasi sehingga menjejaskan ekonomi negara.

"Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah SAW, harga seekor ayam kira-kira RM13, lebih kurang harga seekor ayam pada masa sekarang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan mata wang syariah, dinar dan dirham di Pusat Dagangan Kelantan (KTC)

Nik Abdul Aziz berkata, sebagai simbolik pelancaran mata wang syariah itu, gaji CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) akan dibayar dengan menggunakan emas dinar.
"Buat masa sekarang kita belum ada perancangan untuk membayar gaji kakitangan awam dengan mata wang syariah tetapi saya amat bersetuju sekiranya usaha ke arah itu dibuat sekarang.

"Bermula tahun ini, orang ramai boleh membayar zakat dengan dinar emas dan dirham perak, sebelum ini kita tidak ada kesempatan kerana ia belum dilaksanakan lagi," katanya.

Sementara itu, Husam berkata, pengeluaran dinar dan dirham Kelantan mengikut standard piawai yang ditetapkan oleh Pengeluar Syiling Dunia Islam (Wolrd Islamic Mint).

"Dalam Islam standard telah dibuat oleh Saidina Umar iaitu satu dinar emas 22 karat iaitu 4.5 gram kenapa 22 karat bukannya 24 karat sebab ia wang yang digunakan setiap hari untuk tahan lasak dia akan tambah logam lain tetapi berat masih 4.5 gram, bagi dirham pula tujuh dirham bersamaan dengan satu dinar.

"Pengeluaran kita sebanyak RM2 juta sebelum ini telah habis dan kita akan mencetak setiap hari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.
NOTA : Saya amat merasa bangga dengan usaha yang di lakukan oleh kerajaan Kelantan untuk mengembalikan wang Islam yang sebenar- benarnya. Wang kertas adalah punca masalah ekonomi ummah, wang yang tiada nilai makin lama makin menyusut dan dunia mengalami inflasi hari ke hari. Moga pihak kerajaan Pusat dapat menyokong usaha ini dan mengenepikan perbezaan fahaman politik untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi ummah .

KELANTAN LANCAR MATAWANG SYARIAH DINAR DAN DIRHAM


(Gambar: Tuan Guru menyampaikan logo dinar kepada peniaga yang menerima mata wang dinar dirham untuk jual beli.)

KOTA BAHARU 12 Ogos 2010: Selepas empat tahun Dinar Kelantan dilancarkan di bawah kepemimpinan ulama , Kelantan sekali lagi mencetus sejarah apabila melancar pula matawang syariah, Dinar dan Dirham Kelantan. Majlis bersejarah itu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan Trade Centre (KTC). Program sempena Ramadan tersebut dianjurkan bersama Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Kelantan Golden Trade Sdn Bhd.

Pada majlis perasmian terbabit Menteri Besar melakukan gimik pelancaran dengan menyimpan dinar dan dirham ke dalam sebuah mesin untuk simpanan menunaikan haji. Matawang Dinar dan Dirham Kelantan boleh digunakan untuk pembayaran gaji, zakat, mas kahwin dan perniagaan.

Pada 2006 kerajaan negeri melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23 mm dengan berat 4.25 gm bernilai RM332.25.Selain itu separuh dinar bersaiz 20 mm (1.06 gm) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21 mm (0.5 gm) bernilai RM99.38.Kini nilaian dinar tersebut sudah meningkat berbanding ketika dilancarkan. Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin.
Pada majlis pelancaran itu, sejumlah RM100,000 dinar dan dirham telah dibeli orang ramai.

HIKMAH BERPUASA DARI SUDUT SAINS

Assalaamu’alaikum w.b.t….. SELAMAT BERPUASA UNTUK SEMUA! Kali ini saya mahu berkongsi pengetahuan mengenai beberapa faedah puasa dan kebaikannya dalam menjaga kesihatan manusia dan menghindarkan penyakit. Sebagaimana kita tahu, terlalu banyak kematian sekarang ini kerana penyakit dan ramai di kalangan mereka mati ketika di usia muda lagi. Antara pembunuh2 utama seperti sakit jantung, strok, kanser dan sebagainya berpunca kebanyakannya dari pemakanan kita sendiri. Sesuailah dengan hadith nabi yang bermaksud , “perut ialah rumah penyakit dan puasa adalah raja segala ubat“.

Semua perintah Allah S.W.T yang Dia syariatkan, pasti mengandungi faedah dan manfaat , begitu juga dengan semua yang dilarang oleh Allah S.W.T pasti kerana adanya kemudharatan dan bahaya bagi hambaNya, baik bahaya di dunia mahupun di akhirat. Baik difahami mahu pun tidak, baik di sedari ataupun tidak pasti kerana bahayanya. Semua perintah dan larangan Allah S.W.T ada HIKMAHnya.

Begitu juga dengan puasa Ramadhan yang akan kita jalani, pasti mengandungi manfaat dan faedah yang tersendiri. Walaupun masih ada lagi orang yang kalah dengan nafsunya beranggapan bahawa puasa itu hanya sebagai beban yang memberatkan, atau hanya ujian keimanan dari Allah , atau hanya sekadar suatu amalan ibadah yang berhak dihargai dengan suatu balasan dan pahala, atau hanya sekadar untuk latihan pengekangan nafsu atau hanya sekadar untuk mengangkat manusia dari darjat haiwan.

Di dalam agama lain pun ada disuruh penganutnya agar berpuasa, cuma caranya sahaja yang berlainan dengan yang disuruh di dalam Islam. Ada agama yang berpuasa tetapi bukan menahan lapar dengan tidak makan , tetapi hanya makan dan minum dalam bilangan yang lebih sedikit dari biasa. Itu masih tetap tidak relevan untuk dipanggil puasa, dan tiada hikmahnya pun. Kerana puasa yang berhikmah adalah puasa dengan tidak makan dari pagi hingga ke maghrib, dengan merehatkan perut dari bekerja sepanjang tahun.

Kajian Sains dan Ilmu Moden Berkenaan Kelebihan Puasa
Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik / racun2 dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak kejayaan beliau mengubati pesakit2nya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubat2 moden. Dan puasa bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat juga menajamkan minda kita.

Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.

Puasa juga InsyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan.

Sedangkan dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan SeDunia ialah disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu: (1) glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan (4) lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini.
Al-Harits seorang doktor Arab mengatakan :“Yang banyak membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna.”

Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan bahawa dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.

Puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya. Sama juga ibaratnya seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk sentiasa berjalan tanpa henti.