MEWAHNYA MASJID INDIA....

khubah Jumaat dalam bahasa India dan Malaysia
lokasi Masjid India Seremban

Lihat jadual sumbangan berbuka dan moreh telah penuh !

Memandangkan surau sementara di taman aku penuh sehingga melimpah ke luar pada bulan Ramadhan ini , aku kadangkala sembahyang terawih di tempat lain. Aku memilih bersolat di Masjid India Jalan Temiang , Seremban yang jaraknya hanya kira-kira 800 meter dari rumah aku. Sebelum ini aku tak pernah bersolat di Masjid India tersebut tetapi memandangkan itulah masjid yang terdekat dari rumah maka eloklah menjengah ke masjid tersebut.

Khutbah Jumaat di masjid tersebut akan disampaikan dalam bahasa India dan Melayu secara bergilir-gilir, kalau minggu ni Bahasa India minggu depan Bahasa Melayu begitulah seterusnya sehingga kiamat. Iman masjid ini namanya Ustaz Zubair Ahmed diimport dari negara India dan merupakan imam sepenuh masa dan berstatus Al -Hafiz. Jika tiba bacaan khutbah versi Bahasa India biasanya mereka tidak menggunakan teks dan penyampaian khutbah di buat dengan suara yang bersemangat dan berapi-api, tapi sayangnya haram aku tak faham , yang herannya tak mengantuk sebab cara penyampaian yang bersemangat dan intonasi yang menarik. Kalau ikutkan bila dah tak faham mesti nak tidur dah, nak pula masjid itu berhawa dingin ! tetapi cara Iman tu berkhutbah agak menarik dan tanpa teks…

Sembahyang terawih di masjid ini dilakukan sebanyak 21 rakaat tapi imannya bawa dengan bacaan yang sangat fasih dan laju. Apa yang menariknya sumbangan untuk berbuka puasa dan moreh di masjid ini sangat mewah . Ianya disumbangkan oleh Restoran India Muslim di seluruh Seremban. Jawatankuasa masjid memberitahu aku, pihak mereka telah dihubungi oleh restoran-restoran berkenaan sebulan lebih awal untuk menempah sumbangan majlis berbuka dan moreh. Jadual sumbangan juga telah penuh selama satu bulan ( sila lihat gambar diatas ).
Nak tahu apa menunya? ni yang best nak cerita… sepanjang beberapa hari yang aku pergi menunya ialah bubur asyura, capati, roti canai, murtabak, nasi briyani, mee goreng mamak , beranika kuih muih dan macam-macam ada… maka bulan puasa ni badan bukan tambah kurus tapi tambah naik la jawabnya…

Apa yang ingin aku nak sampaikan ialah di dapati restoran ‘saudara kita’ ini berebut-rebut menyumbang makanan berbuka dan moreh di Masjid India . Bagaimana ‘Masjid Melayu?’ Banyak tak restoran-restoran Melayu nak tampil menyumbang juadah berbuka dan moreh di masjid-masjid dan surau-surau? Kadangkala tiada langsung diadakan majlis berbuka atau moreh kerana ketiadaan peruntukan atau penyumbang. Ada juga masjid terpaksa mengupah pihak catering untuk menyediakan jamuan berbuka dan moreh. Mungkin juga ada yang menyumbang, tetapi tidaklah sebanyak dan penuh istiqamah seperti yang dilakukan oleh restoren-restoran India Muslim . Mungkin itulah sebabnya restoran mamak sentiasa penuh dan jarang bangkrap kerana keberkatan bersedekah

Mudah-mudahan ‘Masjid Melayu’ juga akan di hujani dengan sumbangan dari restoran – restoran milik orang Melayu. Berbuka puasa dan moreh bukan sekadar makan semata-mata ianya juga merapatkan tali siratulrahim antara umat Islam untuk berkenal dengan lebih rapat lagi.

Dinyatakan dalam hadits Zaid bin Khalid dari Nabi SAW beliau bersabda:
"Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya
seperti pahala ovang yang berpuasa itu tanpa mengulangi sedikit pun dari
pahalanya. " (HR. Ahmad dan At-Tirmidzl)




MULAKAN TANAM GAHARU DI SEKITAR RUMAH...

pokok gaharu hidup subur di halaman rumah
Anak lelaki saya 5 tahun bersama gaharu usia 5 bulan

Gaharu juga mencantikkan halaman rumah

MULAKAN TANAM GAHARU DI RUMAH..

Sebelum aku menceritakan projek penanaman 1,000 pokok gaharu yang di usahakan di Kg Jelebu Lenggeng , Negeri Sembilan , elok rasanya kita cerita dulu penanaman gaharu secara kecil-kecilan agar korang semua tidaklah tergaru-garu kepala dengan modal yang agak besar untuk menanam gaharu secara perladangan.

Penanaman gaharu mungkin memerlukan modal yang agak besar. Namun aku menyarankan kepada sesiapa yang nak memulakan penanaman gaharu agar menanamnya di sekeliling rumah . Anak pokok gaharu boleh di dapati dengan harga RM 10 - RM 15 sepokok. Mulakan sedikit demi sedikit , Insya Allah ianya adalah satu pelaburan yang menguntungkan dan bebas dari riba. Tapi keuntungannya lambat sedikit, yolah solopeh tujuh tahun! Tapi bagi yang duduk rumah flat atau rumah teres tanpa tanah bak kata orang nogori – ‘tak dapek la den nak nolong de….’ Jadi moralnya kalau ada rezeki carilah rumah yang ada sedikit tanah bukan sahaja untuk tanam gaharu tapi senang nanti sedara mara nak datang dan anak cucu nak bermain.

Aku telah mula menanam kira-kira 35 pokok gaharu di sekeliling rumah pada 5 bulan yang lalu. Perkembangannya kira ok la, pokok tu kini hidup dengan subur dah ketinggiannya sudah melebihi anak lelaki aku yang umur lima tahun . ( lihat gambar tu, anak lelaki sorang je, hensem jugak le )

Bila dah tanam ramai juga jiran-jiran yang bertanya tanam pokok apa tu? Sebab pokok gaharu ni daunnya persis pokok durian , jadi jiran sebelah dok gabra takut durian kena hempap kat kereta diorang. Puas jugak la nak explain, bila dah tau ada juga la yang berminat.

Pokok gaharu ni lasak, payah nak mati yang penting kena siram hari-hari. Tapi kalau makan dek kambing mati le jugak. Pembajaannya juga tidak memerlukan kos yang tinggi cuma pakai baja organik seperti baja tahi lembu . Tapi aku menggunakan baja gunung berapi yang diimport dari Indonesia. Bila pokok gaharu ni dah besar nampak cantik dan dah jadi semacam pokok hiasan di rumah dan akan meredupkan halaman rumah. Jangan risau pokok gaharu ni bila dah usia 7 tahun tidaklah sebesar dan setinggi mana. Akarnya adalah akar tunjang bukan akar yang berselerak yang boleh merosakkan halaman rumah . Pokoknya pula akan lurus menjulang ke atas dan tak terlalu merimbun macam pokok rambutan atau mangga.

Ramai yang tanya - sebatang pokok gaharu ni berapa nilainya nanti ? aku sarankan sila dapatkan maklumat gaharu ini di dalam internet terlalu banyak info tentang gaharu ini akan di perolehi , kalau aku nak jawab semua kat sini sampai pokok gaharu aku tu besar pun tak abih jawab . Tapi bagi aku cukuplah kita nilaikan sebatang harga pokok gaharu ini bila 7 tahun nanti harganya adalah sekurang-kurangnya RM 1,000 sebatang. Itu andaian paling rendahlah… so kalau tanam 35 pokok sahaja Insya Allah akan memperolehi sekurang-kurangnya RM 35,000 bila usia pokok telah mencapai 7 -8 tahun nanti. Jadilah dapat jugak duit bekalan pencen dan hari tua. Nak harap KWSP sekelip mata boleh habis. Aku ni kerja tak ada dapat duit pencen so kena merancang sesuatu dari sekarang, jangan kita dok seronok makan gaji bila dah nak pencen mula mengelabah hutang rumah, hutang kereta , hutang personal loan tak abih lagi terpaksa pulak nak masuk direct selling la, jadi jaga la dan sebagainya.

Dekat mana nak jual pokok gaharu ni? Itu usah risau la ramai pemborongnya. Tanam je dulu usah fikir nak jual kat siapa lambek laei hasilnya . Tapi untuk pengetahuan korang Pak - Pak Arab sanggup turun ke Malaysia untuk mencari gaharu sebab di Negara Arab mana boleh tanam gaharu, tanah diorang berpasir. Jadi mereka memburu pokok gaharu ini di negara-negara Asia seperti Thailand, Indonesia, Kemboja dan Malaysia. Mereka amat memerlukan pokok gaharu untuk dijadikan minyak attar dan minyak wangi yang bernilai tinggi. Di Malaysia gaharu dah ramai juga yang menanamnya antara tokoh terkenal yang mengusahakanya ialah Ust Taib Azimuddin. Di Kelantan pula gaharu ini telah di tanam secara komersial oleh kerajaan Kelantan dengan melibatkan tanah terbiar orang kampung.

So anda sudah tahu serba sedikit info gaharu. Nanti aku akan ceritakan projek penanaman gaharu yang aku dan partner usahakan di Lenggeng Negeri Sembilan. Projek ribu-ribu ooo... Sudah gaharu cendana pula , sudah tahu bilo nak mulo…???





APA ITU GAHARU ?


Petikan Utusan Malaysia - GOPENG 19 Jan. - Sama ada percaya atau tidak, seseorang itu boleh menjadi jutawan hanya dalam tempoh sekurang-kurangnya tujuh tahun jika menanam sebanyak 400 pokok gaharu di kawasan seluas 0.4 hektar.

Ini bermakna, berdasarkan harga pasaran, setiap pokok gaharu yang berusia antara tujuh hingga sepuluh tahun mempunyai nilai antara RM5,000 hingga RM20,000 sepokok.
Sememangnya pokok gaharu mempunyai nilai yang sangat tinggi dan ia merupakan faktor utama mengapa David Ho Kwan Meng sanggup berbelanja besar mengusahakan ladang gaharu pertama di negara ini.

Beliau yang telah hampir 20 tahun berkecimpung dalam penanaman pokok gaharu kini mula mengorak langkah dengan lebih agresif apabila bertekad mengusahakan ladang gaharu seluas 113 hektar di sini.
'Dahulu saya tidak mampu untuk menanam pokok gaharu dalam jumlah yang banyak kerana kosnya agak tinggi iaitu sekitar RM15,000 bagi setiap 0.4 hektar. ''Sekarang, selepas anak-anak habis belajar barulah saya boleh buat tanaman secara besar-besaran di kawasan seluas 113 hektar ini kerana yakin ia bakal mendatangkan hasil cukup lumayan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

David yang merupakan Pengarah Urusan Gaharu Technologies Sdn. Bhd. berkata, punca utama mengapa pokok gaharu amat bernilai tinggi adalah kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan produk kesukaan ramai iaitu minyak wangi. Selain itu, ia juga boleh menghasilkan pelbagai haruman yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi sejak zaman berzaman.

Pada masa yang sama, daun-daun pokok gaharu boleh dijadikan produk teh hijau yang kini menjadi kegemaran ramai kerana mempunyai aroma yang menyegarkan selain rasanya yang cukup lazat.Menurut David, minyak kayu gaharu juga boleh dijadikan sebagai bahan menghasilkan kosmetik kecantikan.Katanya, tidak cukup dengan itu akar-akar kayu pokok gaharu ini pula boleh dijadikan produk ubat-ubatan.

''Sebab itulah pokok gaharu ini mempunyai nilai yang sangat tinggi. Malah nilai sebatang pokok gaharu boleh mencecah sehingga RM3 juta ringgit jika mempunyai minyak yang banyak.
''Namun kebiasaannya pokok gaharu yang bernilai jutaan ringgit itu berumur antara 20 hingga 30 tahun dan dari jenis baka yang baik," katanya.

Menurut David, teknologi yang dihasilkan syarikatnya telah membolehkan pokok gaharu boleh dijual dalam tempoh lebih singkat iaitu sekitar tujuh hingga sepuluh tahun berbanding 20 tahun pada masa lalu.

''Ini kerana pokok gaharu yang kami hasilkan adalah jenis kacukan, dalam tempoh tujuh tahun ia sudah boleh ditebang kerana sudah cukup besar dan mempunyai minyak yang banyak.
''Jika orang menanam pokok gaharu baka lain, tidak semestinya ia boleh mendatangkan hasil seperti pokok gaharu yang kami hasilkan.
''Penjagaan pokok gaharu juga mudah tetapi mesti dilaksanakan dengan betul. Kita akan menyuntiknya dengan hormon apabila sudah berusia enam tahun supaya ia benar-benar berkualiti," katanya.
INFO TAMBAHAN TENTANG GAHARU
Gaharu adalah sejenis damar yang terbentuk secara semula jadi akibat daripada tindak balas pokok gaharu ke atas serangan fungus/bakteria (penyakit). Pokok yang diserang menyebarkan sejenis minyak berbau bagi melindungi bahagian yang cedera ( sama ada akar, batang, dahan dan sebagainya ) di mana minyak ini lama kelamaan akan menjadi keras ( damar ). Bahan damar yang terhasil ini pula mengandungi bahan sari atau resapan damar yang wangi dan dikenali sebagai gaharu.

Kegunaan Gaharu - Gaharu digunakan dalam pelbagai cara termasuk perubatan tradisional, artifek-artifek seni dan pati minyak. Gaharu dibakar untuk menghasilkan bau-bauan yang wangi sejak dahulu lagi oleh orang-orang Cina, Arab, India dan Jepun yang mana ia banyak digunakan dalam perayaan-perayaan, adat dan keugamaan. Pati minyak yang di ekstrak daripada gaharu pula digunakan sebagai bahan campuran minyak wangi sebagai contoh, minyak ‘attar’, iaitu wangian berasaskan air yang mengandungi minyak ekstrak gaharu. Wangian tersebut digunakan secara meluas oleh orang Islam.

Penjagaan Dan Rawatan Tanaman - Anak-anak pokok perlu dijaga dengan sempurna pada peringkat awal pertumbuhan. Rawatan susulan seperti pembersihan sekeliling pokok tanaman daripada rumpai musuh, pembajaan yang sesuai dan pemangkasan pucuk anjur pelbagai cabang pokok perlu dilakukan. Biasanya pokok gaharu boleh mendatangkan hasil pada usia 7 tahun.

SUDAH GAHARU CENDANA PULA, SUDAH TAHU BILA NAK MULA? NANTIKAN PAPARAN SELANJUTNYA...

SURAU OH SURAU... JOM BUAT PELABURAN AKHIRAT !

Di sinilah tapak surau bakal didirikan
papan tanda mohon sumbangan
Ahli jemaah melimpah ke luar surau
Gambar di atas adalah suasana di surau taman tempat saya tinggal iaitu di Taman Sri Pulai 3 , Sikamat Seremban. Saya baru sahaja berpindah ke taman tersebut kira-kira 4 bulan yang lalu, sebelum ini saya menetap di Taman Warisan Puteri , di situ suraunya disediakan oleh pihak pemaju dan aktiviti surau sangat aktif serta berjaya mengundang kehadiran ramai jemaah . Saya sempat berkhidmat sebagai Setiusaha selama 3 tahun di Surau Al-Hidayah , Taman Warisan Puteri sebelum mengundur diri kerana berpindah ke taman baru.

Surau di Taman Sri Pulai 3 ini di namakan Surau Al – Hikmah dengan kehadiran jemaah setiap hari kira-kira 10-15 orang. Kalau surau ini besar saya rasa akan lebih ramai lagi para jemaah yang mampu diisi kerana jumlah penduduk di taman tersebut mencecah 400 orang . Pemaju di taman ini tidak menyediakan surau untuk penduduk tetapi telah memberikan satu tapak untuk di jadikan surau Saya merasa kagum dengan inisiatif jawatankuasa surau tersebut yang menjadikan sebuah rumah sewa sebagai surau sementara bagi tujuan solat berjemaah dan tempat perhimpunan siratulrahim penduduk di taman tersebut.

Walaupun surau tersebut bertaraf surau sementara kegigihan jawatankuasa surau mengimarahkan aktiviti surau amat dihargai. Aktiviti keagamaan seperti kuliah subuh, kuliah bulanan, bacaan yasin, majlis korban, ceramah Israk Mikraj dan sebagainya telah berjaya diadakan walaupun dengan sebuah rumah sewa sahaja. Saya juga pernah menjemput ahli jemaah surau ke rumah saya untuk bacaan doa selamat serta tahlil arwah ayah dan alhamdulilah hampir 60 orang ahli surau dan penduduk taman yang hadir.

Saya dimaklumkan telah 3 tahun rumah sewa itu dijadikan surau bagi penduduk-penduduk di taman tersebut. Surau tersebut paling ramai pun hanya boleh memuatkan 25 orang sahaja. Sempena bulan Ramadhan ini kehadiran para jemaah telah melebihi muatan , pihak jawatankuasa telah mengambil inisiatif memasang khemah di luar surau untuk menampung kehadiran jemaah. Saya kesian juga kepada mereka yang berjemaah di luar dalam keadaan yang kurang selesa, panas dan kalau hujan mungkin lebih menyukarkan. Jemaah wanita pula terpaksa ditempatkan di bilik utama rumah tersebut

Pihak Jawatankuasa surau telah berusaha sedaya upaya mencari dana bagi menampung kos pembinaan surau tersebut dengan membuat kutipan derma daripada penduduk, golongan korporat dan memohon kepada pihak- pihak yang berkenaan. Namun sehinggi kini dana yang terkumpul adalah sebanyak RM 30,000 sedangkan kos pembinaan dianggarkan RM 150,000 – RM 200,000. Saya sendiri akan mencuba mencari dana bagi pembinaan surau tersebut dari sumber-sumber yang saya rasakan boleh membantu.

Kepada anda diluar sana yang ingin menambahkan saham akhirat dengan membantu pembinaan surau ini bolehlah berbuat demikian dengan menghantar sumbangan ikhlas anda ke akaun Bank Islam Surau Al-Hikmah 05-012-01-006781-1 sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Bendahari surau En Redzuan b. Mohamad Thany di talian 019- 6529098 . Ayuhlah kita mewakafkan sedikit harta kita bagi membina sebuah lagi rumah Allah di samping sebagai bekalan kita menuju ke negeri yang abadi . Sumbangan anda amat dialu-alukan hulurkan tangan ringankan beban. Firman Allah SWT

“Katakanlah kepada hamba2 Ku yang beriman, 'hendaklah mereka mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tiada jual beli dan persahabatan". (surah Ibrahim:31)



ADA APA DENGAN GAHARU ??


Kata orang tua ' sudah gaharu cendana pula sudah tahu bertanya pula....' Apa ada dengan gaharu? kenapa orang sibuk untuk tanam gaharu? betul ke harga gaharu lebih mahal nilainya dari emas? Persoalan demi persoalan menerjah di ruang fikiran ketika mana seorang sahabat lama saya Saudara Zulkifli Omar mempelawa saya memulakan projek penanaman gaharu.
Akhirnya saya sudah 'terjebak' dengan projek penanaman gaharu sebanyak 1,000 pokok dengan usahasama seorang rakan di Kg Jelebu Lenggeng. Kenapa saya berani menceburkan diri dalam arena penanaman gaharu ini? dah fikir habis ke? hasilnya 6-7 tahun lamanya! Sebelum saya mengambil keputusan memulakan projek penanaman gaharu ini banyak kajian sendiri telah dilakukan dengan melihat artikel gaharu di internet dan pergi sendiri ke kebun gaharu milik Sdr Zulkifli Omar.
Berpotensi ke penanaman gaharu? berapa harga sepokok gaharu? gaharu tu nak buat apa? itu soalan - soalan biasa yang pada satu ketika dahulu bermain-main di fikiran saya dan membuatkan sesiapa sahaja tergaru-garu kepala dek gaharu ni. Saya kira buat permulaan cukup di sini cerita mengenai gaharu , saya akan ceritakan nanti bagaimana saya terlibat dengan penanaman gaharu dan apa sebenarnya potensi gaharu. Tunggu ya!

Tazkirah 4 : Mencari Kelemahan Diri


MENCARI KELEMAHAN DIRI

KITA terlalu banyak memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai orang menginginkan orang lain berubah. Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah. Kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah orang lain tetapi malangnya diri kita tidak mampu diubah.Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain?
Antara sebabnya kita tidak pernah memberi masa bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri atau pun sibuk nak mengubah orang lain akhirnya diri sendiri tidak berubah. Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah diri sendiri. Bukan hanya sekadar hanya pandai bercakap tetapi laksanakan apa yang dicakap. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya tidak dimulakan dengan diri sendiri ia akan menjadi hampa. Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa . Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap tidak serupa bikin yang kita laungkan. Kita melaungkan ‘hendaklah kamu bersyukur ‘ tapi diri sendiri tak pernah menampilkan sikap bersyukur. Kita menyuruh orang lain mencari keberkatan tapi kita sendiri melakukan perkara yang tidak diberkati Allah.
Sebelum kita di terima bekerja iaitu semasa sesi temuduga sudah pastinya kita telah berjanji akan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin tapi malangnya bila kita telah diterima bekerja wujud sikap kerja asal siap, kerja last minit , kerja janji ada, kerja bertangguh dan sebagainya.
Firman Allah swt dalam surah al Isra’ ayat 36: Dan tepatilah janji kerana setiap janji itu akan dipersoalkan pada hari akhirat

Sabda Rasulullah saw : “ tanda orang munafik ada tiga, apabila dia bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir , bila di beri amanah dia khianat” Kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak asas tidak kita bina. Kata pepatah Arab “Mulakan dengan dirimu,” .
Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani mengata itu mudah, berani berhujah itu mudah tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri.
Ada segelintirnya juga sangat berbangga dengan kelulusan yang dimiliki. Berbangga ada Ijazah, berbangga ada PHD dan lain-lain. Berbangga sijilnya dikitiraf JPA, diiktiraf LAN dan pelbagai-bagai pengiktirafan dunia yang lain. Tapi apalah gunanya pengiktirafan setinggi melangit jika kita yang kononnya berkelulusan tinggi tapi buat kerja asal siap, janji hantar. Maka jadilah kelulusan yang diktiraf JPA tadi sebagai Janji Pandai Ampu (JPA) dan kelulusan yang diiktiraf LAN tapi sebagai Loncat Atas Neraka (LAN) kerana mereka ini tidak amanah , berpura-pura dan tidak jujur dalam tugasan seperti mengambil rasuah, kerja sambil lewa, zalim, tidak adil , mencuri masa , seleweng dan sebagainya.

Golongan ini memburu kelulusan bukan utk meningkatkan ilmu tetapi semata mata untuk meningkatkan gaji, kedudukan,pengaruh atau untuk berbangga bangga dengan kelulusan yang ada, berbangga ada ijazah ada Master, ada PHD tetapi kualiti kerjanya tak setaraf, tak seberapa dan tak berbaloi dengan kelulusan yang ada…. Firman Allah swt dalam surah Al-Qasas ‘ Sebaik-baik pekerja ialah orang yang kuat dan jujur’

Allah akan menilai seorang pekerja bukan berdasarkan tinggi mana kelulusannya tetapi berdasarkan keupayaan menjalankan amanah . Rasulluah SAW bersabda “ Sesiapa yang telah mengambil upah (gaji) Allah akan menghisabnya berdasarkan amalannya. ‘

Sebagai contoh, kita tentu mengenali seorang ahli korporat Malaysia yang terkenal Tan Sri Syed Mokhtar bin Syed Nor Al-Bukhary. Beliau sebenarnya hanya berkelulusan Tingkatan 5 dan tak ada walaupun kelulusan sijil dari mana-mana universiti sehingga kini . Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung . Sejarahnya beliau hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang, Kedah tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Kerjanya masa kecil membantu ibunya menanam sayur-sayuran dan jual di pasar selain itu beliau menjual roti canai di pasar yang sama . Beliau meniaga hari ke hari. Kini dimana beliau ? Tan Sri Syed adalah usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernilai RM1.67 bilion dan banyak menderma melalui Yayasan Al-Bukhary. Ini adalah sikap beliau yang gigih bekerja dan tak pandang belakang. Ini membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan .

Saydina Umar pernah berkata kepada pegawai-pegawainya :-

“ Sesungguhnya orang yang kuat bekerja itu ialah orang yang tidak menangguhkan kerja-kerja hari ini kepada hari esok. Mereka yang melakukan demikian akan dibebani dengan timbunan kerja sehingga ia sendiri tidak tahu yang mana satu yang harus diutamakan’

Kata seorang ahli falsafah Edward Yong “ Penangguhan Adalah Pencuri Masa” mencuri dalam Islam hukumnya haram dan berdosa. Tak jatuh berdosa kalau impikan rumah besar, hari ini rumah teres , 5 tahun lagi impikan rumah banglo, tak mengapa Baiti Jannat rumah ku syurgaku , tak berdosa impikan kereta besar hari ini kereta Kancil tahun depan nak pakai Toyota Wish silakan itu impian! tapi asalkan ianya mesti diperolehi dari sumber yang halal, mampu serta tidak lupa akan segala perintah Allah bukan seperti Qarun yang kufur .

Ramai orang berani melihat kekurangan orang tetapi jarang orang berani membincangkan kelemahan diri sendiri. Sebenarnya mengubah diri tanpa sedar adalah cara terbaik untuk mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatan kita yang berubah itu akan menjadi contoh yang sangat bererti bagi orang lain. Jadi kerja jangan banyak cakap…. Tapi buat dan buktikan… buktikan hasil kerja yang bagus bukan cakap macam bagus!

Memang pengaruh dari kegigihan untuk mengubah diri tidak akan cepat dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain.Makin lama orang akan buka mata dan terdorong juga untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah diri terlebih dahulu ? Ada 6 langkah.
6 langkah tersebut ialah - Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Bagaimana mungkin kita mengajak orang berubah sedangkan kita tidak berubah. Kita cakap macam bagus tapi kerja tak bagus. Kita suruh orang lain bersyukur kita pun nampak tak berapa bersyukur. Jangan jadi seperti 'ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa bikin.
Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara yang kecil-kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar-besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar diawali dengan titik-titik hujan yang kecil.
Ketiga: Mulakan sekarang! kata orang putih (Do it now). Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil-kecil akan jadi besar jika dibiarkan.
Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dilawan nanti jadi degil.
Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Jangan rasa diri terlalu bagus, orang lain tak bagus tak ada kelulusan, tak layak dan sebagainya. Kalangan sahabat nabi pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana asyik menyalahkan orang lain.
Keenam : Kena ulang dan ulang dan ulang kebaikan sehingga sebati dengan diri

PUISI UNTUK PEJUANG-PEJUANG ZAKAT TANAHAIR


SEDEKAD BERLALU
Oleh : Mohd Rafiz bin Mohd Yusoff
9 Disember 2008


Detik demi detik berlalu
Tahun demi tahun beredar
Dan kita semakin dimamah usia

Kini sedekad telah berlabuh
Perjuangan kita tetap disini
Dengan jerih perih dan
Keringat tumpah ke bumi
Demi seruan illahi
Kaki ini akan terus melangkah gagah
Meneruskan perjuangan yang tak bertepi

Ke desa menyebar dakwah
Ke taman menyebar risalah
Ke kota menyebar seruan
Didesa, dikota, di ladang ,digunung dan dilembah
Seruan illahi rukun agama tetap di sebar
Memartabatkan zakat
Melahirkan ummah terhebat

Sungguh mulia tugasmu amil
Menabur bakti mengutip kepingan kepingan barakah
Menabur kasih pada insan insan malang
Membantu si fakir, menolong si miskin
Menjulang ekonomi ummah
Agar Islam terus dijunjung di bumi bertuah ini.

Sedekad telah berlalu
Perjuangan kita masih panjang rupanya
Tugas jihad ini belum selesai
Masih jauh perjalanan ini, berliku dan berombak
Terus melangkah dengan amanah
Berkerja ikhlas beristiqamah

Helaian-helaian barakah akan terus dikutip
Agar menjadi payung buat insan menumpang tuah
Hikmah zakat hadiah buatmu ummah
Tetap abadi zaman berzaman.