TEKA TEKI IMAM GHAZALI


Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (Teka Teki ) :
Imam Ghazali = " Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?

Murid 1 = " Orang tua
Murid 2 = " Guru
Murid 3 = " Teman
Murid 4 = " Kaum kerabat

"Imam Ghazali = " Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surah Ali-Imran :185).
Imam Ghazali = " Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?

"Murid 1 = " Negeri Cina
"Murid 2 = " Bulan
"Murid 3 = " Matahari
"Murid 4 = " Bintang-bintang

"Iman Ghazali = " Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama"

Iman Ghazali = " Apa yang paling besar didunia ini ?

"Murid 1 = " Gunung
"Murid 2 = " Matahari
"Murid 3 = " Bumi

"Imam Ghazali = " Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.

"IMAM GHAZALI" Apa yang paling berat didunia?

"Murid 1 = " Baja
"Murid 2 = " Besi
"Murid 3 = " Gajah

"Imam Ghazali = " Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72).Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

"Imam Ghazali = " Apa yang paling ringan di dunia ini?

"Murid 1 = " Kapas
"Murid 2 = " Angin
"Murid 3 = " Debu
"Murid 4 = " Daun-daun

"Imam Ghazali = " Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. (gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat " . Maksudnya ramai orang yang tidak beriman meringankan solat gara-gara sibuk dengan hal dunia sedangkan solat sepatutnya tidak boleh ditinggalkan )

" Imam Ghazali = " Apa yang paling tajam sekali di dunia ini? "Murid- Murid dengan serentak menjawab = " Pedang"

"Imam Ghazali = " Itu benar, tapi yang paling tajam sekali di dunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri MALAHAN MENJATUHKAN SAUDARANYA SENDIRI!

WANG KERTAS vs EMAS ... Mana Pilhan Anda?

WANG KERTAS SISTEM KAPITALIS BARAT

SIMPAN EMAS - KEMBALI KEPADA KEGEMILANGAN ISLAM

JIKA ANDA MEMILIH MENYIMPAN WANG KERTAS .....

1. DIPERNILAI kerana ia kertas yang dicop sahaja]

2. Setiap hari susut nilai. Satu ketika dahulu contohnya, duit Indonesia tidaklah seperti sekarang di mana 100,000 rupiah = RM35.00. Dulu nilainya lebih tinggi. Duit Malaysia satu hari nanti akan jadi sebegitu.

3. Laku pada waktu aman sahaja. Contoh mata wang Iraq, di mana selepas kejatuhan Saddam, wang kertas negara tersebut terus tiada nilai. Rakyat yang banyak duit MATA WANG Iraq menjadi papa kedana. Manakala rakyat Iraq yang menyimpan emas tidak terjejas sama sekali!

4. Disimpan oleh kebanyakan rakyat. Beratur di bank sebulan sekali nak simpan duit RM100.00 - RM 200.00. Tapi dapatlah keuntungan 3- 5% setahun . Jangan malukan diri anda lagi.

5. Amerika negara pencetak wang kertas terbanyak dunia tanpa sandaran emas. Hanya cetak dan beli minyak dari Arab kemudian beli alat pertahanan canggih , tapi sekarang semua sudah tahu tembelang Amerika, cetak duit kertas tanpa sandaran emas. Dijangkakan matawangnya akan terus terjejas .

6. Sejarah susutnilai wang kertas adalah setahun 37%. Jika simpan dalam ASB dapat bonus ASB dalam 7%setahun..rugi 30% setahun . Tapi ramai tak nampak..yang kita nampak duit kertas aku makin banyak tapi tak sedar nilainya makin menyusut.

7. Alat paling bahaya kerana penyangak mata wang sentiasa ada. Sejarah membuktikan George Soros telah melakukan jenayah melalui manipulasi matawang menyebabkan seluruh dunia terpaksa meminjam dan melutut pada IMF. Tidak mustahil kerana ianya sekadar kertas semata-mata, ia hanya diperhargakan.

JIKA ANDA MEMILIH MENYIMPAN EMAS ....

1.BERNILAI kerana ia logam yang paling berharga dan stabil di seluruh dunia.
2. Tiada susutnilai dan inflasi. Pada zaman Nabi S.A.W., harga seekor kambing adalah sedinar.Pada zaman sekarang pun masih sedinar seekor.Sedinar sekarang adalah lebih kurang RM 550.00.(Dinar = 4.25gm)

3 . Pelaburan paling terjamin dan menguntungkan.Kos nak pergi haji tahun 2006 ialah 68 dinar tapi dijangka tahun 2009 hanya perlu 30 dinar sahaja dah boleh pergi haji .Jadi anda tak perlu tambah duit dan dapat pergi haji lebih ramai . Jadi simpanlah dinar emas.

4. Kebanyakan ilmuan ekonomi adalah penyimpan dinar. Mereka tahu tentang tipudaya wang kertas ini.

5. Negara China adalah penyimpan emas terbanyak dunia. Bila untung bisnes semua beli emas. China memang kuasa besar dunia tidak lama lagi kerana mempunyai emas.

6. Peningkatan purata emas adalah 11% setahun tanpa susut nilai. Nilai emas tak pernah turun walaupun setahun ! Rujuk http://www.kitco.com/

7. Tiada siapa boleh main harga kerana ia memang berharga. Kalau anda bawa Ringgit Malaysia (RM) ke Singapura wang anda akan menyusut 2 kali ganda. Tapi kalau bawa emas dan tukarkan dengan wang Singapura anda pasti mampu tersenyum!

8. Laku satu dunia setiap masa. Orang Kemboja yang berhijrah ke Malaysia kini kaya raya di Kelantan kerana menggadaikan emas mereka untuk dijadikan modal meniaga batik. Bayangkan kalau mereka bawa duit kertas negara mereka pada ketika itu, nescaya tak laku kerana negara mereka pada ketika itu kacau bilau dan miskin .

JADI SIMPANLAH EMAS SEBELUM TERLAMBAT! DAPATKAN KIJANG EMAS, DINAR KELANTAN,LOGAM MULIA, DINAR MUSLIM DAN SEBAGAINYA UNTUK MASA DEPAN DUNIA DAN AKHIRAT. SAVE MALAYSIA !!!

EMAS SENJATA PEMUSNAH SISTEM KAPITALIS

WANG KERTAS NILAI SEMAKIN MENYUSUT
SIMPANLAH EMAS PEMUSNAH SISTEM KAPITALIS

IBNU Khaldun pernah menyatakan zaman kegemilangan akan diikuti zaman kemunduran dan untuk mengetahui zaman mana kita berada, pergilah ke pasar.Jika pasar itu terbuka kepada semua orang, ia berada pada zaman kegemilangan dan jika pasar itu dimiliki beberapa keluarga atau dimonopoli oleh kumpulan tertentu, ia adalah zaman kemunduran.

Sistem kapitalis pada zaman ini mengamalkan sistem monopoli dan sering kita dapati perniagaan dikuasai syarikat rantaian. Apabila buka saja sebuah pasar raya besar di kawasan perumahan, kita dapati kedai runcit atau pengusaha bermodal kecil secara beransur-ansur akan tutup kedai.Malah sekarang ini kita dapati banyak kedai di kawasan perumahan tidak dihuni atau tidak digunakan untuk perniagaan, kesan pembukaan pasar raya besar.Apakah kita boleh kategorikan zaman ini sebagai zaman kegemilangan?

Umat Islam kini mesti memastikan perkara begini tidak berterusan dan pemerintah pula tidak cuma menerima dan mengikut arus perkembangan sistem kapitalis semata-mata.Tidak keterlaluan jika kita katakan dunia Islam kini mengikut atau meniru dunia kufar, tidak terkecuali negara yang sepatutnya melindungi Islam. Umat Islam diajak serta dididik secara sistematik untuk melupakan keistimewaan yang ada pada mereka dan memandang tinggi akan apa yang ada pada kufar.

Kufar melakukan ini bukan saja melalui peperangan tetapi juga melalui penguasaan ekonomi dan tipu helah politik. Pelbagai peristiwa menunjukkan kepada kita bagaimana sistem kufar beroperasi bagi menguasai umat Islam.Perhatikan apa yang berlaku kepada umat Islam di Chechnya? Umat Islam di Chechnya berjaya mengalahkan Russia dalam pertempuran yang mempunyai kekuatan ketenteraan tetapi umat Islam kalah di meja perundingan, pejuang Mujahidin Afghanistan menang di medan pertempuran, tetapi kalah di meja perundingan, begitu juga dengan Bosnia, Mesir dan banyak lagi contoh lain.Inilah kekuatan dan kelemahan umat Islam yang dirasakan perlu kita tahu dan memperkuatkan mana yang lemah dan mempertahankan mana kekuatan yang kita ada disamping mengenali musuh kita.Musuh umat Islam pada zaman ini adalah kapitalisme.

Melalui pendidikan dengan pendekatan pengislaman ilmu, umat Islam dididik supaya sistem perbankan Barat diperkenalkan dan diterima.Usaha ini bukan berlaku beberapa tahun kebelakangan ini malah telah lama diusahakan bagi merosak dan menguasai agama kita. Harus diingatkan bank Islam pertama di dunia bukan ditubuhkan oleh negara Islam tetapi sebaliknya ditubuhkan oleh ahli keluarga perbankan kufar di Luxemburg, dengan bantuan munafikun di kalangan umat Islam sendiri.Penubuhan ini bertujuan untuk menarik wang keluar dari negara Arab dan disimpan di dalam bank Islam di Eropah. Umat Islam tidak mengambil keuntungan daripada faedah simpanan, maka bank Islam ini membuat keuntungan berlipat kali ganda.Kapitalis menggunakan Islam untuk mengaut keuntungan tanpa mengira apa yang diharamkan atau dihalalkan oleh Islam.

Riba, sesuatu yang diharamkan tetapi dihalalkan orang kufar. Malah kegiatan menghalalkan riba ini di kalangan orang Islam dimulakan oleh Muhammad Abdu dilantik Lord Cramer sebagai Syeikhul Universiti Al-Azhar dan telah mengeluarkan fatwa bahawa umat Islam dibolehkan mengambil faedah daripada tabung simpanan (Al-Manar).Ia disifatkan sebagai fatwa yang merosakkan agama dan amalan umat Islam. Fatwa ini membuka jalan kepada pembentukan bank dalam Islam dan seterusnya membolehkan wang kertas digunakan.Selepas itu ilmu ekonomi Barat boleh dimasukkan ke dalam pengajian Islam. Malah inilah tugas utama Abdu selepas dilantik rektor universiti terkenal itu. Sebab itulah kita katakan bahawa ilmu ekonomi adalah alat untuk mengalih pandangan umat Islam daripada masalah riba.

Ilmu ekonomi Islam pula terselindung di sebaliknya untuk membolehkan riba itu diterima oleh umat Islam. Inilah diajar kepada umat Islam selepas mereka menawan negara Islam seolah-olah umat Islam sebelum ini tidak pernah berdagang, tidak pernah memiliki harta, atau tidak pernah membuat transaksi yang besar.Melalui proses pengislaman ilmu yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu, kita dapati kufar berjaya menggunakan umat Islam sendiri untuk mengislamkan ekonomi dan dinamakan ‘ekonomi Islam’. Ini juga satu bidang ilmu.Ini perkara baru direka khas bagi menguasai kekayaan umat Islam.

Mereka mula memperkenalkan sistem kewangan Islam tanpa melihat akan wang itu sendiri, memperkenalkan takrifan baru bagi riba sebagai faedah, keuntungan, dividen yang diharamkan, bank adalah nadi pelaksanaan ekonomi kufar, oleh itu untuk memenuhi sistem ekonomi Islam, bank Islam dibentuk, seterusnya lahirlah apa yang dinamakan akaun Islam, opsyen Islam, bon Islam, bursa saham Islam, pelaburan Islam, insurans Islam dan banyak lagi label Islam.Kini lahir pula kad kredit Islam. Jika kita selak di sebalik label Islam ini, ia tetap kufar, ia adalah sistem kapitalis yang di-Islamkan.Malah kini ada sesetengah negara mengeluarkan bir Islam, iaitu sejenis bir yang cuma ada 5 peratus alkohol di dalamnya dengan justifikasi bahawa tapai ubi mengandungi lebih banyak alkohol, tetapi dibolehkan.

Tujuan perkara ini dibangkitkan adalah kerana kita dapati kufar sudah begitu berani menggunakan label Islam hanya kerana begitu ramai umat Islam yang inginkan sistem Islam, tetapi tidak tahu apa itu yang dibolehkan oleh Islam.Ke mana hala tuju kita umat Islam pada zaman moden ini.Apakah kita mahu terus menjejaki kufar dan mengislamkan sistem kapitalis dan berpuas hati dengannya?Institusi perbankan gergasi dunia kini menggunakan cendekiawan Islam dari institusi pengajian tinggi untuk menulis dan dengan bersahaja menyatakan bahawa sistem insurans yang diamalkan sekarang ini adalah tradisi peninggalan Rasulullah saw.Bukankah ini satu penyelewengan yang boleh memudaratkan agama suci kita? Sedangkan Rasulullah tidak membenarkan seseorang itu memajak pokok yang sedang berbunga, tunggu sehingga pokok itu berbuah dan hampir masak baru boleh dipajakkan.

Rasulullah melarang sesuatu transaksi yang tidak pasti.Kita tidak boleh ‘mengislamkan riba’ begitulah juga kita tidak boleh mengislamkan whiski (arak).Apa yang berlaku sekarang adalah kad kredit yang dinamakan kad kredit Islam sedangkan ia adalah sama dengan sistem yang diamalkan oleh sistem kad kredit perbankan Barat. Umat Islam tetap akan menang dalam peperangan tetapi peperangan kapitalisme ini memerlukan persenjataan yang berlainan. Untuk menang mengatasi sistem kapitalisme ini umat Islam mesti mengangkat senjata dinar emas.Jika wang kertas alat ekonomi kufar, umat Islam akan menggunakan wang dinar emas untuk berdagang.

Sistem kewangan kufar akan hancur jika ramai yang tidak menggunakannya. Kajian yang tertulis dalam internet ada menyatakan jika hanya tujuh peratus (tujuh peratus) penyimpan wang di mana-mana bank di dunia ini mengeluarkan simpanannya serentak, maka hancurlah sistem perbankan Barat.Inilah kekuatan yang ada pada sistem perbankan kapitalisme di seluruh dunia.

Bank memberi pinjaman 20 kali ganda daripada jumlah wang yang ada padanya dan mengenakan faedah kepada si peminjam. Jadi bank menjana wang daripada sesuatu yang tidak ada.Sistem kapitalisme adalah sistem kufar dan kekuatan sistem ini dianologikan Allah sebagai kuatnya sarang labah-labah. Sarang labah-labah nampak besar dan menggerunkan malah boleh menutup pintu gua, tetapi sebenarnya ia begitu rapuh sekali. - Oleh Prof Madya Dr Zuhaimy Ismail . Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

AKHIRNYA KEMARAU 61 TAHUN BERAKHIR....

SKUAD NEGERI SEMBILAN 2009
70% STADIUM DI PENUHI ORANG KELANTE..
KESIAN... BOMBA KENA KERJA MALAM TU...


AKHIRNYA NEGERI SEMBILAN menamatkan penantian selama 61 tahun untuk muncul juara Piala Malaysia buat kali kedua selepas kali terakhir melakukannya pada 1948. Kejayaan itu diukir selepas menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional.

Ia merupakan hadiah paling istimewa sempena pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir pada 26 Oktober lalu.


Bagi Kelantan, hasrat mereka untuk menjulang piala berprestij itu buat kali pertama terus musnah setelah tiga kali melangkah ke perlawanan akhir termasuk pada tahun 1955 dan 1970.
Final Piala Malaysia edisi ke-83 bermula dalam suasana penuh meriah dengan kehadiran 85,000 penonton yang memenuhi setiap ruang di Stadium Nasional itu. Yang pasti, 70 peratus daripadanya terdiri daripada penyokong Kelantan.

Saya rasa ada uniknya kemenangan Negeri Sembilan kali ini iaitu:

- Negeri Sembilan 61 tahun kemarau kemenangan dan Tuanku Mukriz juga berusia 61 tahun
- Negeri Sembilan menenangi Piala Malaysia pada tahun 2009

Melihat suasana stadium umpama zon perang apabila letupan mercun, balingan pelbagai objek dan aksi membakar kerusi dan sebagainya. Inikah bolasepak Malaysia? Aksi di luar padang di lihat lebih dramatik dari aksi di tengah padang.

Apa pun tahniah kepada penyokong nogori yang sangat berdisiplin bersesuailah dengan negeri kita yang di gelar negeri beradat. Provokasi penyokong lawan nampaknya tidak dibalas oleh penyokong nogori dan hasilnya kemarau 61 tahun dinikmati oleh semua rakyat Negeri Sembilan .
Tahniah juga kepada para pemain Negeri Sembilan yang begitu komited dan fokus pada perlawanan walaupun stadium seperti aksi tembak menembak di Bukit Kepong . Apa yang saya ingin dedahkan juga di sini semua pemain-pemain Negeri Sembilan bukan sahaja komited di padang tapi mereka satu pasukan juga komited dalam menunaikan zakat gaji . Kesemua pemain Negeri Sembilan tidak lupa menunaikan zakat mereka secara potongan gaji pada setiap bulan. Ada diantaranya membayar zakat gaji sehingga RM 800 sebulan ... Dengan menjuarai Piala Malaysia pastinya rezeki mereka akan bertambah lagi ... dan jangan lupa Jang bayar zakat jugak kalau dapek bonus tu... Tahniah untuk semua , berakhirlah kemarau 61 tahun. Hoben Jang Hoben....!

NEGERI SEMBILAN 61 TAHUN MENANTI PIALA MALAYSIA


Pemain Negeri Sembilan Johan Piala Malaya 1948;
Sheikh Mustapha, Tan Kim Chye, Chong Kok Heng, Kek Tong, Leftenan Whitehead, Thian Kwee, Tan Kee Fah, Kapten Watson, Kwan Soon Teck dan
Sheikh Ali

Piala Malaysia datang lagi,
Tapi kita masih ternanti-nati,
Adakah akan berakhir badi,
Apakah hilang badi itu tahun ini.
61 tahun kita menanti,
Adakah piala ini akan ke mari,
Ke tanah bertuah naungan Seri Menanti,
Untukmu Yam Tuan yang kami sayangi.
Mungkinkah kita terus begini,
Menanti dan terus menanti sehingga mati,
Untuk melihat sang kapitan menjulang piala keramat ini,
Agar kami anak-anak negeri gagah berdiri.
Ayuh pejuang-pejuangku,
Naikkan semangatmu,
Tegarkan jiwamu,
Banggakan Pejuang-Pejuang 1948 dengan kejayaanmu.

GAHARU - LEBIH MAHAL DARI EMAS


TATKALA menyebut perkataan, pokok karas, pasti ramai di antara kita membayangkan ia sejenis flora atau pokok biasa yang membesar di kawasan hutan tropika negara ini.
Tetapi, jika diberitahu bahawa pokok karas itu menghasilkan kayu dan minyak gaharu, apakah yang terbayang dalam kotak pemikiran anda?

Tentu sekali, seseorang akan membayangkan harga kayu tersebut yang mencecah puluhan ribu ringgit bagi sekilogram ataupun bau harum yang dikeluarkannya. Harganya yang begitu mahal membuatkan ada yang menyifatkan bahawa kayu ini lebih bernilai daripada emas. Cuma harus sabar menunggu hasilnya dalam 7-8 tahun.

Negara-negara seperti Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi dan Dubai begitu menggilai kemewahan kayu gaharu. Sementara itu, Indonesia jauh lebih maju dan bergiat aktif dalam menggerakkan industri berasaskan kayu gaharu. Masing-masing berlumba-lumba mempromosikan minyak kayu gaharu atau lebih dikenali sebagai agarwood oil di peringkat dunia.

Malaysia sebaliknya lebih cenderung untuk mengeksport hasil kayu ini dalam bentuk kepingan kayu karas atau damar gaharu berbanding minyak yang diekstrak.Malah sehingga tahun 1997, Lembaga Perkayuan Malaysia (MTC) melaporkan bahawa negara ini pernah mengeksport gaharu dalam kepingan bernilai lebih RM50 juta dalam tempoh lima tahun.

"Saya terlibat dalam perniagaan gaharu ini sejak empat tahun lalu. Pada awalnya, saya menjual kepingan kayu dan damar gaharu untuk pasaran tempatan dan luar negara.
"Tetapi setelah melihat pulangan yang cukup lumayan daripada jualan itu, saya memutuskan untuk pergi lebih jauh iaitu menawarkan perkhidmatan menjual anak benih dan minyak kayu gaharu," ujar Fadliza Mohd. Nor, 35, ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.

Suri rumah yang bercita-cita setinggi gunung itu memberitahu, dia mengenali kewujudan pokok karas melalui pengalaman mencari pokok herba di kampung halaman bersama ayah kesayangannya.

"Saya kenal pokok karas sejak tahun 1980-an, iaitu semasa terlibat dengan aktiviti mencari kayu-kayu herba bersama ayah di kawasan hutan yang terletak di Pasir Mas, Kelantan.

"Ayah tidak berminat dengan pokok ini sebab dia tidak tahu apa-apa tentangnya. Saya pula ketika itu masih 'hijau' tentang pokok-pokok bernilai tinggi di dalam hutan," kata Pengurus Jasben Plantation yang menawarkan perkhidmatan menebang balak dan tanaman herba di Kampung Sakar, Pasir Mas, Kelantan.
Namun, setelah ayahnya yang ketika ini merupakan Pengarah Urusan Jasben Plantation, Mohd. Nor Ibrahim bertemu dengan orang Siam (Thailand) yang masuk ke Malaysia untuk mencari pokok daripada famili hymelaeceae ini, pertemuan itu telah membuka matanya bahawa pokok karas rupa-rupanya sangat bernilai.

"Sebelum ini, kayu pokok karas hanya dibuat papan lapis. Kulitnya dijadikan tali gasing. Tetapi orang Siam mencari karas untuk menghasilkan minyaknya yang mempunyai aroma yang sangat wangi.

"Minyak itu dieksport ke negara-negara Arab untuk dijadikan minyak wangi," tambah bekas graduan jurusan Pentadbiran Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berminat dalam bidang agro sejak kecil lagi.
Menurutnya, waktu paling sesuai untuk pokok karas mengeluarkan hasilnya ialah pada usia enam tahun atau setelah ia mula berbunga.

"Pada usia itu, pokok karas hanya mampu menanggung 'kecederaan' kurang daripada 20 peratus.

"Kalau terlalu awal, ia boleh mati. Kalau kecederaannya terlalu teruk, itu juga boleh membunuhnya," ujarnya.

Fadliza bagaimanapun mengingatkan bahawa pokok karas sebenarnya mempunyai keunikan berbeza dengan pokok lain.

"Jika pokok lain memberi hasil apabila batangnya sihat tetapi sebaliknya bagi pokok karas. Pokok karas yang sihat dan membesar dengan cepat menghasilkan resin gaharu yang sedikit berbanding pokok karas yang sakit dan diganggu.

"Lebih lama pokok itu sakit maka lebih bermutu kayu gaharu yang terhasil daripada tindak balas kecederaan itu," ujar Fadliza sambil menjelaskan bahawa gangguan itu berlaku secara semula jadi atau tindakan manusia.
Menurutnya, pokok karas boleh hidup dalam apa jenis tanah sekalipun.
"Ia boleh tumbuh di mana-mana sahaja. Di atas tanah pamah, diameter batangnya lebih besar. Pertumbuhan itu bergantung pada banyak faktor, antaranya ialah jarak antara pokok, jenis anak benih, kaedah tanaman serta kaedah suntikan," katanya lagi.

Sementara itu, Mohd. Afizol Rashid, 35, yang merupakan suami tercinta Fadliza sentiasa memberi sokongan dan tunjuk ajar dalam menggerakkan perniagaan mereka, selain berkongsi beberapa cara untuk mendapatkan minyak pokok karas.

"Menakik, mengikat batangnya dengan dawai, memaku ataupun membakar batangnya adalah antara kaedah konvensional yang sering dilakukan.

"Tetapi kini, kita mempunyai teknologi terbaru untuk mengeluarkan gaharu iaitu dengan menyuntik inokulasi (yang terdiri daripada sejenis bakteria) ke dalam lubang yang ditebuk pada batang pokok karas," katanya.
Katanya lagi, teras di dalam pokok akan diambil setelah pokok ditebang dan dipotong mengikut bentuk dan saiz resin yang terbentuk.

"Proses membuang sisa kayu daripada resin gaharu sehingga bersih dilakukan di kilang. Gaharu yang siap diproses akan menjadi kepingan atau habuk akan digred mengikut saiz, bentuk, warna dan bau sebelum dijual kepada pekedai atau pengeksport.
"Kebanyakan kerja-kerja mencuci atau membuang sisa kayu dilakukan oleh pekerja di kilang pemprosesan," ujar Afizol yang menjelaskan bahawa kepingan gaharu itu digunakan secara meluas dalam industri berasaskan spa dan pusat kecantikan kerana aromanya.

Selain gaharu dijual dalam bentuk kepingan dan abu, ia juga diproses untuk dijadikan minyak.
Justeru syarikatnya turut menawarkan perkhidmatan penanaman ladang gaharu khusus untuk aktiviti pemprosesan minyak gaharu.

Katanya, ladang itu kini giat diuruskan oleh sahabat baiknya di Gua Musang, Kelantan. - Sumber Akhbar Kosmo !

JOM SERTAI AKADEMI PIDATO NUSANTARA

tetamu kehormat bergambar kenangan
Saya bersama 'sifu' Dato' Dr. Syed Sempurna sudah perasmian...
Bangunan Akademi Pidato Negeri Sembilan
Gimik Pelancaran

Saya bersama Dato Dr.' Syed dan YB Taufek

YB Taufek bersama Dato' Dr. Syed dan Tim. Mufti NS

Bersemangat... Persembahan pidato

Suasana di bilik kuliah Akademi Pidato Dato' Syed dan YB Taufek dengan gimik pelancaran


Malam minggu yang lalu (17 Oktober) saya berkesempatan hadir ke perasmian Akademi Pidato Nusantara Cawangan Negeri Sembilan di Pusat Komersial Oakland 2, Seremban. Jemputan secara SMS oleh guru pidato saya Dato’ Dr Syed Ahmad bin Syed Samsuddin Al-Sagoff sudah pasti tidak akan dilepaskan. Walaupun pada malam tersebut saya terpaksa berkejar-kejar menghadiri beberapa jemputan rumah terbuka tapi kesempatan untuk menyaksikan perasmian akademi tersebut tidak akan dilepaskan. Ternyata keputusan saya untuk hadir amat tepat kerana majlis tersebut diadakan dengan meriah dan teratur.

Saya dan beberapa orang rakan telah berkesempatan berguru dengan Dato’ Dr. Syed kira-kira 2 tahun yang lalu di bawah anjuran Pusat Latihan Pidato Profesional Negeri Sembilan (PULAPI PRO) . Beliau merupakan seorang guru pidato dan pengucapan awam yang hebat. Teknik pidato dan pengucapan awam yang di ajar sangat bersistematik dan berkesan. Beliau belajar ilmu Pidato di Sekolah Pidato Agong Dharmawijaya Sunan Kalijaga di Padang Panjang, Sumatera Barat , Indonesia. Di situ beliau mempelajari ilmu pidato peringkat tertinggi dengan Profesor Drs H.S Sonarjo. Tokoh terkenal yang pernah menuntut ilmu di sana ialah Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Sri Anwar Ibrahim. Sebab itu lah apabila kita melihat Anwar Ibrahim berucap auranya berbeza dari pemimpin politik yang lain.

Kejayaan tertinggi Dato' Dr. Syed dalam pidato apabila beliau memenangi Anugerah Pidato Asean untuk seluruh Asia beliau juga pernah menerima Top Group Sales Manager di dalam seluruh industri insurans di Malaysia.

Dengan tertubuhnya Akademik Pidato Nusantara ini, 13 Pasantren atau kelas akan diwujudkan di seluruh Malaysia. Sehingga kini ianya telah di buka di Shah Alam, Kuala Lumpur, Melaka, Putrajaya, Seremban dan Ipoh . Akademi Pidato Nusantara ini diwujudkan dengan matlamat supaya semua golongan masyarakat tidak kira dimana , bandar atau kampung boleh mempelajari ilmu pidato dan pengucapan awam . Ilmu pidato ini sudah wujud sejak zaman nabi sehingga ke zaman peradaban moden pada hari ini. Tokoh-tokoh pidato hebat dunia seperti Bung Karno, Hasan Al Banna, John F Kenndy dan yang terkini Barack Obama juga merupakan seorang pemimpin yang hebat berpidato.

Di Akademik Nusantara ini peserta akan di dedahkan ilmu pidato dan pengucapan awam bermula dengan peringkat basic, intermediate, advance, higher advance dan expert. Menurut Dato’ Syed semasa beliau di Australia , beliau telah mempelajari Public Speaking tetapi ianya berbeza. Ia lebih kepada apa yang hendak dicakap atau ‘what to say it’ , sedangkan di Indonesia diajar bagaimana hendak bercakap atau ‘how to say it’ .

Pengalaman saya dan rakan-rakan belajar ilmu pidato dan pengucapan awam dengan Dato’ Dr. Syed jelas berbeza dengan kursus - kursus pengucapan awam yang telah saya hadiri sebelum ini. Pelajar akan mempelajari 53 teknik pengucapan awam, teknik falsafah, prinsip dan 36 jurus penggayaan , akan di ajarkan juga nanti konsep 12 kuasa aura kejayaan. Saya sendiri sebenarnya belajar tak habis lagi, baru peringkat pertengahan lepas tu kelas tergendala sehingga sekarang . Dengan wujudnya Akademik Nusantara di Negeri Sembilan boleh la sambung kembali pengajian.

Namun ilmu yang di perolehi adalah sangat berharga, contohnya pada tahun 2008 Jabatan Zakat , Wakaf dan Haji (JAWHAR) ada menganjurkan Pertandingan Pidato Zakat Kebangsaan bagi pelajar sekolah menengah sempena dengan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2008. Sebanyak 10 negeri telah menghantar wakil termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Sabah , Pahang dan sebagainya. Pertandingan itu di pecahkan dua kategori iaitu kategori lelaki dan wanita. Saya dan rakan telah mendapatkan 2 orang pelajar dari Negeri Sembilan yang bukan dari sekolah aliran agama, sedangkan negeri lain menghantar pemidato dari sekolah agama, sekolah agama berasrama penuh, maahad tahfiz dan sebagainya. Mulanya saya rasa ianya adalah satu kesilapan strategi dengan menghantar pelajar bukan aliran agama untuk berhujah mengenai zakat.

Namun, sebelum pertandingan saya dan rakan-rakan telah mencuruhkan ilmu pidato yang di pelajari kepada pelajar tersebut sebagai bekalan di hari pertandingan dan dengan izin Allah keputusanya kedua-dua wakil Negeri Sembilan telah menjadi johan bagi kategori lelaki dan wanita!

Sebab itulah apabila penubuhan cawangan Akademi Pidato Nusantra di Seremban saya merasa ianya adalah satu peluang bagi rakyat di Negeri Sembilan untuk mempelajari ilmu pidato dan pengucapan awan dengan teknik dan pendekatan yang sangat berkesan. Ilmu pidato bukan sahaja berguna dalam bidang politik tetapi ianya berguna untuk kita menyampaikan sesuatu mesej dan ilmu kepada orang lain secara berkesan dan menarik. Seorang pendakwah akan gagal jika ilmu yang ada di dada gagal di terjemahkan dengan cara yang betul dan berkesan , seorang jurujual akan gagal jika tidak berupaya meyakinkan pelanggan dengan cara penyampaian yang lemah.

Perasmian Akademik Nusantara Negeri Sembilan telah di serikan dengan kehadiran rakan seperguruan saya YB Taufek Abdul Ghani , Adun Paroi (satu-satunya YB PAS di Negeri Sembilan). Sebelum menjadi wakil rakyat Paroi, YB Taufek sempat berguru dengan Dato’ Syed dan hasilnya beliau telah menggunakan ilmu itu sewaktu kempen pilihanraya . Kini sebagai Adun Paroi beliau sering berucap dan menyampaikan pidatonya di khalayak ramai. Sebagai seorang wakil rakyat saya sering melihat beliau berucap dan bergaul dengan masyarakat dan pastinya ilmu pidato dan perhubungan awam yang di pelajarinya telah banyak membantu beliau menarik sokongan rakyat.

Saya yakin penubuhan Pasentren Akademi Pidato Nusantara Seremban akan memberi ruang dan peluang kepada semua masyarakat mempelajarinya dengan bahasa yang baik dan indah untuk menyerlahkan keintelektualan. Seperti kata falsafah, orang yang bijak bercakap kerana ada sesuatu yang ingin di sampaikan sedangkan orang yang kurang bijak bercakap hanya semata-mata ingin bercakap. Keindahan menggunakan kata-kata juga terungkap dalam sebuah pantun Melayu lama – “ Yang kurik itu kundi, Yang merah itu saga, Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa… “

Kepada rakan-rakan semua yang ingin mengikuti kelas pengajian di Akademi Pidato Nusantara cawangan Negeri Sembilan bolehlah menghubungi saya di talian 019-2282667, ada pakej individu dan korporat disediakan. Ianya terbuka kepada semua golongan masyarakat berumur 7 tahun keatas. Akademi Pidato Nusantara mengalu-alukan semua golongan masyarakat memulakan langkah pertama mempelajari ilmu pidato dan pengucapan awam ini. Seperti kata guru saya “ langkah pertama itu adalah harapan, sedangkan tidak melangkah langsung tiada harapan” .