STATISTIK KAYU GAHARU

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua,

Industri gaharu semakin mendapat perhatian ramai kerana harga pasarannya yang sangat lumayan. Pasaran yang masih tidak dapat dipenuhi juga masih besar menyebabkan banyak pihak cuba mengambil peluang ini untuk terlibat dalam industri gaharu. Peluang dalam industri ini masih banyak, namun kita sendiri yang menentukan untuk mengambil peluang tersebut atau melepaskan ia pergi begitu sahaja.

Graf diatas menunjukkan harga bagi kayu gaharu Gred A bagi tahun 1972-1990 dan 1991-2008 di Semenanjung Malaysia. Maklumat ini diperolehi dari Laporan yang dikeluarkan oleh FRIM. Sumber maklumat tersebut diperolehi daripada pedagang iaitu 2 di Perak, 1 di Kelantan, 1 di Terengganu dan 1 di Pahang.

Berdasarkan graf di atas juga , pada tahun 1972 harga bagi gaharu Gred A ialah RM500 bagi setiap kg. Harga gaharu menunjukkan peningkatan yang baik dari tahun ke setahun. Pada tahun 1990, harga gaharu meningkat sehingga hampir 4 kali ganda iaitu RM 1967 bagi setiap kg.
Harga gaharu terus meningkat dengan mendadak kerana permintaan yang tinggi tetapi keupayaan pengeluaran yang rendah memandangkan pokok gaharu yang semakin diancam kepupusan. Pada tahun 2008, harga gaharu yang dicatatkan ialah RM 14333 bagi setiap kg.

Peningkatan dari tahun ke tahun menunjukkan potensi industri gaharu dalam menjana ekonomi individu, syarikat seterusnya Negara.Namun begitu, Gred A bagi gaharu tidaklah begitu mudah untuk diperolehi. Ia mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan gaharu yang betul-betul berkualiti dan seterusnya dikelaskan dalam Gred A. Teknologi inokulasi yang sering diwar-warkan sehingga ke saat ini masih tidak berjaya untuk menghasilkan gaharu bergred A.

Mungkin ada kes-kes terpencil yang dapat menghasilkan gaharu Gred A, namun jumlahnya masih tidak banyak. Usaha keras perlu dilakukan bagi mendalami kajian terhadap inokulan yang digunakan untuk pembentukan gaharu agar hasil yang berkualiti tinggi dapat diperolehi.Tidak dapat dinafikan kewujudan inokulan telah meningkatkan industri gaharu ke tahap yang lebih baik dari sebelumnya.

Gaharu yang terbentuk masih dapat dikelaskan dalam Gred yang lain seperti B, C dan sebagainya dan juga bagi gred yang rendah digunakan untuk penyulingan minyak gaharu. Harga pasaran bagi gaharu gred selain A dan minyak gaharu juga tidak kurang lumayan. Masih sangat berbaloi untuk diusahakan.Semoga kita sama-sama dapat terus meningkatkan mutu dan kualiti industri gaharu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi seterusnya dapat meningkatkan ekonomi penduduk. Kajian yang berterusan dan sokongan padu dari pihak kerajaan mampu merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia hub perdagangan gaharu suatu hari nanti. InsyaAllah.
Credit Info : Aminah Saad – Pelajar Sarjana Perhutanan UPM

1 comment:

  1. salam perjuangan..diharap dapat di link blog hamba disini...Terima Kasih...
    http://klboyzwangsa.blogspot.com

    ReplyDelete