' Tanam Gaharu di Sekeliling Rumah' - MB NEGERI SEMBILAN

GAHARU DI DEPAN RUMAH
27 April 2010 Sendayan - Pokok Karas yang menghasilkan gaharu di perlu di tanam di kawasan sekeliling rumah dan terbiar tanah berikutan permintaan dan harganya yang tinggi iaitu antara RM3,000 dan yang paling mahal RM15, 000 sekilogram. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pasaran gaharu dunia ketika ini mencecah RM200 juta, tetapi bekalan itu hanya memenuhi kira-kira 20 peratus daripada permintaan sebenar.

Berikutan potensi pasaran gaharu yang besar, katanya, kerajaan negeri menggalakkan penduduk memulakan penanaman pokok karas secara kecil-kecilan di kawasan sekeliling rumah atau tanah terbiar yang sediaada.

"Saya yakin program merakyatkan penanaman karas mampu menjadi sumber pendapatan baru kepada penduduk negeri ini, terutama di luar bandar dan boleh dijadikan antara pendekatan kreatif untuk membasmi kemiskinan," katanya selepas melancarkan Kempen Menanam 26 Juta Pokok peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Sendayan, di sini.
Mohamad berkata, iklim tropika menyebabkan pokok karas sesuai ditanam di negara ini dan yakin penanaman pokok itu, terutama dilaksanakan secara komersial akan memberi kesan positif kepada ekonomi rakyat dalam jangka panjang. Katanya, pokok itu yang matang selepas tujuh tahun ditanam mampu menjana ekonomi penduduk pada masa depan berdasarkan faktor harga yang tinggi di pasaran dunia.
Beliau juga meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama-sama memberi sokongan untuk memastikan program penanaman pokok karas berjalan lancar di daerah masing-masing bermula tahun ini.
"Penyertaan Pegawai Daerah dan kepemimpinan tempatan, termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) penting untuk menjayakan program ini yang lebih berkesan dilaksanakan secara berkelompok," katanya.
Menteri Besar berkata, penanaman berkelompok memudahkan pengurusan dari segi mendapatkan bekalan benih, penjagaan pokok dan pemasaran.
DIPETIK DARIPADA BERITA HARIAN ONLINE 27 APRIL 2010
Nota : Pada mulanya saya menyangka hanya beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu , Kedah dan Selangor yang mengalakkan rakyatnya menanam gaharu namun carian melalui internet rupa-rupanya mendapati MB Negeri Sembilan juga menggalakkan rakyat NS menanam gaharu . Mudahlah sedikit apabila mendapat sokongan kerajaan negeri, saya akan mendapatkan maklumat dari Jabatan Pertanian dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan tentang apa jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada pengusaha gaharu di Negeri Sembilan.

1 comment:

  1. Kena tanam dlm pagar, bukan di luar. Nanti bila masa dah suntik, tak boleh tidur pulak memikirkan gaharu di luar rumah...

    ReplyDelete