1,000 PENIAGA KELANTAN TERIMA DINAR DAN DIRHAM




KOTA BHARU 12 Ogos - Kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham Kelantan yang digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mata wang syariah tersebut boleh digunakan di kira-kira 1,000 buah kedai dan restoran di sekitar bandar ini untuk transaksi perniagaan.

Beliau berkata, penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada Ringgit Malaysia (RM) tidak bertentangan dengan undang-undang dan ia dirangka mengikut peruntukan peraturan yang disediakan oleh Bank Negara.

"Mata wang syariah ini hanya pilihan kepada orang ramai untuk menggunakannya, tetapi ia juga untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai mata wang sendiri untuk perdagangan.
"Sejarah juga membuktikan bahawa dinar emas dan dirham perak tidak akan terjejas dengan inflasi sehingga menjejaskan ekonomi negara.

"Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah SAW, harga seekor ayam kira-kira RM13, lebih kurang harga seekor ayam pada masa sekarang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan mata wang syariah, dinar dan dirham di Pusat Dagangan Kelantan (KTC)

Nik Abdul Aziz berkata, sebagai simbolik pelancaran mata wang syariah itu, gaji CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) akan dibayar dengan menggunakan emas dinar.
"Buat masa sekarang kita belum ada perancangan untuk membayar gaji kakitangan awam dengan mata wang syariah tetapi saya amat bersetuju sekiranya usaha ke arah itu dibuat sekarang.

"Bermula tahun ini, orang ramai boleh membayar zakat dengan dinar emas dan dirham perak, sebelum ini kita tidak ada kesempatan kerana ia belum dilaksanakan lagi," katanya.

Sementara itu, Husam berkata, pengeluaran dinar dan dirham Kelantan mengikut standard piawai yang ditetapkan oleh Pengeluar Syiling Dunia Islam (Wolrd Islamic Mint).

"Dalam Islam standard telah dibuat oleh Saidina Umar iaitu satu dinar emas 22 karat iaitu 4.5 gram kenapa 22 karat bukannya 24 karat sebab ia wang yang digunakan setiap hari untuk tahan lasak dia akan tambah logam lain tetapi berat masih 4.5 gram, bagi dirham pula tujuh dirham bersamaan dengan satu dinar.

"Pengeluaran kita sebanyak RM2 juta sebelum ini telah habis dan kita akan mencetak setiap hari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.
NOTA : Saya amat merasa bangga dengan usaha yang di lakukan oleh kerajaan Kelantan untuk mengembalikan wang Islam yang sebenar- benarnya. Wang kertas adalah punca masalah ekonomi ummah, wang yang tiada nilai makin lama makin menyusut dan dunia mengalami inflasi hari ke hari. Moga pihak kerajaan Pusat dapat menyokong usaha ini dan mengenepikan perbezaan fahaman politik untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi ummah .

No comments:

Post a Comment