LENGGENG - LEMBAH GAHARU NEGERI SEMBILAN

Bernilai tinggi.... pokok gaharu siap untuk di proses
Menunggu hasil ... gaharu berusia 2 tahun di Lenggeng

Anak pokok gaharu sedia di tanam

Seorang pekerja sedang memotong gaharu di Lenggeng

Lenggeng terletak dalam daerah Seremban, di Negeri Sembilan. Bandar ini terletak kira-kira 16 km di utara Seremban. Lenggeng bersempadan dengan Beranang Selangor. Jadi sebahagian kampung di Selangor terletak juga di Negeri Sembilan. Ini berikutan sempadan negeri yang tidak begitu jelas, tidak ada sungai sempadan yang jelas untuk memisahkan Selangor dengan Negeri Sembilan.

Mengikut riwayat, nama Lenggeng itu berasal daripada ikan tilan yang banyak terdapat di anak-anak sungai di Lenggeng. Ikan tilan ini dikenali sebagai 'Langging' oleh orang-orang Minang di Lenggeng. Untuk menyesuaikan dengan bahasa tempatan dan mudah dieja, perkataan 'Langging' ditukar kepada Lenggeng yang dikenali sehingga ke hari ini.

Penduduk Lenggeng terdiri daripada orang Melayu sebagai kaum majoriti dari generasi kedua dan ketiga dari penghijrahan orang-orang Minang Sumatra khususnya dari Luak Agam (satu kawasan bermula di Bukit Tinggi hingga ke Lubuk Sikaping). Orang Melayu di Lenggeng mengamalkan budaya warisan mereka iaitu budaya Minangkabau, Indonesia.

Ekonomi masyarakat Lenggeng adalah bersumberkan pertanian seperti tanaman serai, buah-buahan, kelapa sawit, getah dan sebagainya. Lenggeng juga di penuhi dengan ternakan lembu, kambing, itik dan ayam. Namun sejak 3-4 tahun yang lalu Lenggeng kini telah mula di tanam dengan pokok yang paling berharga di dunia iaitu gaharu. Menyusuri sekitar Lenggeng akan dapat di lihat pokok-pokok gaharu sudah mula di tanam secara perladangan. Saya juga dapat melihat di rumah penduduk Lenggeng terdapat juga pokok-pokok gaharu yang di tanam di sekitar halaman rumah. Bolehlah dikatakan Lenggeng kini adalah Lembah Gaharu bagi Negeri Sembilan apabila ramai yang telah mengusahakan secara perladangan komersial.

Baru-baru ini saya ke Lenggeng untuk melihat kebun gaharu yang diusahakan sejak 5 bulan yang lalu , kemudian saya singgah sebentar di rumah Saudara Zul, sempat juga saya melihat beberapa orang pekerja sedang memotong pokok gaharu sebelum di proses untuk dijadikan minyak. Pokok gaharu itu di potong kecil-kecil sebelum menjalani proses untuk mendapatkan minyak yang sangat bernilai tinggi.

Di belakang rumah saudara Zul pula di penuhi dengan anak-anak pokok gaharu yang sedia di tanam dan di beli oleh sesiapa yang berminat. Jenis pokok gaharu yang dijual oleh Saudara Zul ialah Sub Integra yang diimport dari Thailand.

Selain di Lenggeng saya juga di maklumkan penanaman gaharu secara ladang juga telah diusahakan di Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu. Namun begitu pihak Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan di Negeri Sembilan masih belum mempunyai kepakaran tentang gaharu. Bantuan juga tidak dapat diberikan kepada pengusaha gaharu dengan alasan gaharu tidak dikategorikan sebagai tanaman berasaskan makanan, oleh yang demikian bantuan daripada Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan tidak dapat diberikan.

Saya menyarankan kerajaan Negeri Sembilan dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang mempunyai tanah terbiar untuk mengusahakan penanaman gaharu. Bantuan boleh di beri dalam bentuk anak pokok, baja, peralatan, khidmat nasihat dan sebagainya. Penanaman gaharu secara komersial akan membolehkan sesiapa sahaja keluar dari belenggu kemiskinan dalam tempoh 7- 8 tahun. Kalau kita terus bergantung kepada penanaman serai, sawit, getah, buah-buahan sampai bila pun usaha membasmi kemiskinan tidak akan tercapai.
Satu pelan tindakan harus di ambil oleh kerajaan negeri dan agensi berkenaan agar lebih ramai lagi dapat menceburkan diri dalam perladangan gaharu secara komersial. Mungkin langkah kerajaan negeri Kelantan boleh dijadikan contoh dengan menjadikan penanaman gaharu sebagai langkah untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyatnya.

Usaha perladangan gaharu telah bermula di setiap negeri di Malaysia tetapi keluasan ladang masih terbatas. Oleh itu, sesiapa yang berminat tanamlah pokok gaharu kerana ia lebih baik daripada membiarkan tanah di sekitar kampung atau rumah ditumbuhi lalang dan belukar . Insya Allah ia akan membawa manafaat.

1 comment:

  1. Assalammualaikum encik..di mana lokasi kebun encik ye..ada jual anak pokok gaharu x?

    ReplyDelete