NOTA : Saya paparkan teks ucapan Tun Dr Mahathir ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan mengenai Ekonomi Emas Dinar pada tahun 2007. Pendapat Tun Mahathir agak berbeza dengan Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Dr Awang Adek. Terpulanglah pada kita untuk mencari kebenarannya. Yang pasti kerajaan Kelantan telah memulakan usaha untuk menghidupkan sunnah nabi dengan memperkenalkan Dinar dan Dirham.
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun urusniaga menggunakan dinar emas boleh mengelak manipulasi dan penipuan, tetapi malangnya tiada negara, termasuk negara Islam yang mahu melakukannya. Bekas Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Emas Dinar 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) .
Beliau berkata, seketika dahulu Malaysia pernah mahu menggunakan dinar emas dalam urusniaga tetapi tidak berjaya dilaksanakan kerana tiada negara lain yang sedia menjalankan urusniaga menggunakannya. Bagaimanapun, beliau tidak membuat cadangan khusus supaya kerajaan menggunakan dinar dalam urusniaganya.
"Tetapi kita masih boleh melaksanakannya hari ini kerana Dolar Amerika tidak ada nilai," katanya kepada wartawan. Beliau berkata, dinar emas tidak sama dengan matawang kerana kerana ia tidak boleh dimanipulasi di pasaran semasa. Katanya, dinar juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dari urusniaga harian sehingga kepada urusan perkahwinan dan ibadah haji.
Bagaimanapun, katanya, untuk menjadikan dinar emas sebagai wang alternatif perniagaan bukanlah mudah kerana ia boleh menyebabkan ekonomi negara gagal atau musnah. Sementara itu dalam ucaptamanya Dr Mahathir berkata, sekalipun Malaysia menggunakan dinar emas, namun sistem perdagangan lama terus digunakan. "Apabila kita memperkenalkan perbankan Islam, sitem perbankan lama masih dikekalkan," katanya.
Beliau berkata, Bank Pusat patut menerima bayaran dari pengimport di dalam negeri dan dan digunakan untuk membayar kepada pengekport dari negara sama. Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, dinar emas masih mempunyai masalah iaitu dari segi pengangkutan kerana ia sangat berisiko.
Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, umat Islam hari ini menjadi lebih kaya dari sebelumnya, khususnya dari segi pendapatan dalam dolar Amerika, tetapi tidak menggunakan sistem perbankan ataupun atau wang untuk kepentingan mereka. Menurut Dr Mahathir, mereka sebaliknya menyimpan wang di negara luar khususnya di Amerika yang digunakan oleh kuasa besar itu untuk membunuh orang Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan.
"Saya kira para ulama perlu mengeluarkan fatwa bagaimanakah hukumnya orang Islam yang menyimpan wang di Amerika yang kemudiannya digunakan untuk membunuh orang Islam sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment